Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran sebagai dasar segala ilmu

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Politeknik Brunei (PB), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil bagi pegawai-pegawai, kakitangan dan pelajar-pelajar PB pengambilan ke-13 sempena bulan Ramadan di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil tersebut telah diungkayahkan bersama Unit Pengajian Islam, Bahagian Pengajian Am dan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025.

    Tujuan majlis itu diadakan ialah untuk memartabatkan Al-Quran sebagai dasar segala ilmu di samping mengambil sukut barakah wahyu Allah.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah dan Pemangku Pengetua, PB, Haji Mohammad Jaafar bin Haji Johari.

    Lebih 700 orang telah menghadiri majlis tersebut. Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah ketua-ketua bahagian/pusat dan sekolah-sekolah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, pensyarah-pensyarah dan kakitangan, ahli majlis perwakilan pelajar PB dan pelajar-pelajar pengambilan ke-13.

    Antara yang hadir semasa Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PB
    GAMBAR SERAHAN PB

    Atur cara Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan tazkirah Nuzul Al-Quran yang telah disampaikan oleh Penolong Profesor dan Pengarah Fiqh Usrah, KUPU SB, Dr Haji Sham bin Haji Amin.

    Majlis diteruskan dengan pembacaan ayat-ayat khatam oleh peserta-peserta khatam dan diakhiri dengan solat Zohor berjemaah.

    Di sepanjang bulan Ramadan yang penuh berkat ini, PB juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti Program Sentuhan Ramadan.

    Untuk tahun ini, Program Sentuhan Ramadan telah berhasil menganjurkan dua projek iaitu sumbangan berupa makanan dan iftar bersama PB.

    Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Pembangunan dan Inovasi Pelajar tetapi dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar PB.

    Projek sumbangan berupa makanan bermula pada 20 Mac hingga 27 Mac. Projek itu bertujuan bagi membantu pelajar PB yang memerlukan. Hasil sumbangan adalah daripada warga PB.

    Manakala Projek Iftar Bersama PB yang diadakan pada 29 Mac bertujuan untuk memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan pelajar PB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda