Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kitab suci Al-Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW yang kekal terpelihara sehingga ke akhir zaman.
“Terpelihara itu di sini ialah terpelihara daripada mengalami kemusnahan, sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Al-Hijr Ayat 9 yang tafsirnya ‘Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya daripada sebarang perubahan, penyelewengan, penambahan dan sebagainya.’
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian sempena Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 2021 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, malam ini.
Tambah Baginda, pemeliharaan Allah terhadap Al-Quran adalah tidak syak lagi agar seluruh umat Islam dapat terus memanfaatkannya sebagai bacaan dan panduan hidup.
“Dengan membacanya sahaja pun, kita sudah dapat mengaut pahala, apatah lagi jika menjadikan sebagai panduan dan undang-undang. Inilah karamah Al-Quran yang menjanjikan segala kebajikan.

“Beta bersyukur, kerajaan Beta tanpa kendur-kendurnya dapat mengusahakan secara berterusan pembudayaan membaca Al-Quran di kalangan rakyat dan penduduk melalui pelbagai aktiviti pembelajaran dan lain-lain kegiatan,” titah Baginda.
Terdahulu, Baginda Sultan melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam dapat meraikan Sambutan Nuzul Al-Quran meskipun ketika penularan wabak koronavirus yang kini melanda dunia.
“Kita memperingati Nuzul Al-Quran adalah sebagai merujuk kepada Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang tafsirnya ‘Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah’.”
Baginda Sultan dalam pada itu juga turut melahirkan rasa gembira kerana bulan Ramadan kali ini dapat dimeriahkan dengan acara bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat dan tidak terkecuali juga turut diadakan di rumah-rumah bagi mereka yang tidak mempunyai kesempatan untuk ke masjid.
Manfaat membaca Al-Quran bukan sahaja diraih oleh pembaca-pembacanya, malahan juga keberkatannya akan turut tumpah kepada negara dengan memperoleh keamanan, keselamatan dan kemakmuran, titah Baginda.
“Mengapakah Beta katakan demikian itu, kerana bukankah Al-Quran itu penawar dan rahmat jika dibaca, tentu sahaja impaknya boleh membawa kepada kesembuhan dan kebahagiaan.
“Sebab itulah, untuk menolak wabak pun, kita membanyakkan zikir, di mana kepala zikir adalah Al-Quran. Insya-Allah, dengan menjadikan zikir dan Al-Quran itu sebagai amalan dan pegangan maka Brunei Darussalam dengan izin Allah SWT akan menjadi sebuah negara yang benar-benar selamat dan sihat serta aman sejahtera di bawah payung pemeliharaan Allah SWT,” tambah Baginda Sultan.