Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’

    Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Dalam Islam, kepimpinan diberi perhatian penting sehingga Rasulullah SAW menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam kumpulan yang kecil.

    ‘Kepimpinan’ dalam Islam tidaklah semata-mata merujuk kepada pemimpin-pemimpin tertinggi sahaja, malah setiap individu dalam kehidupan ini mempunyai peranan sebagai pemimpin dalam lingkungan masing-masing.

    Perkara ini ditekankan olah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Perdana Menteri, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’ pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah yang berlangsung di Dewan Plenari Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas baru-baru ini.

    Dalam ceramahnya itu, beliau menyatakan bahawa manusia tidak terlepas daripada peranan dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

    “Tahap paling minimum, seorang individu adalah bertanggungjawab memimpin dirinya sendiri. Kemudian hierarki kepimpinan meningkat setahap demi setahap, bermula dalam keluarga, masyarakat, institusi sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi di peringkat negara dan dunia.

    Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim menyampaikan ceramah bertajuk ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’ pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah yang berlangsung di Dewan Plenari Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini. – Muiz Matdani

    “Dalam semua peringkat kepimpinan ini, pemimpin-pemimpin bertanggungjawab penuh terhadap orang yang dipimpinnya, menentukan agenda dan hala tuju, iaitu ke arah mana pengikut-pengikutnya akan dibawa,” tambahnya.

    Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim juga telah menyentuh mengenai teori kepimpinan Barat atau mana-mana teori selain Islam di mana ‘kepimpinan’ bagi mereka, hanya semata-mata dikaitkan, antaranya dengan kuasa, menentu matlamat dan mencipta wawasan.

    “Bagi mereka, latihan dan ilmu yang mencukupi, sifat dan karakter diri adalah memadai bagi membentuk suatu kepimpinan yang berkesan,” jelasnya.

    Manakala itu, tambah beliau, dalam skop kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi, ideologi ciptaan Barat ini menekankan bahawa pemimpin tidak boleh mencampuradukkan urusan agama dengan urusan dunia.

    “Fahaman ini telah terus berkembang dan menular di seluruh dunia. Ia telah memasuki sebahagian dunia Islam bermula sejak sekitar awal kurun ke-20 lagi. Justeru tidak menghairankan, kesan dan pengaruh terhadap kefahaman ini, kita lihat, dari aspek agama, membawa kepada tergugatnya akidah,” tekannya.

    Beliau menekankan bahawa kefahaman tersebut sebenarnya telah ditolak oleh Islam. Menurut Imam Al-Ghazali, agama dan kepimpinan adalah dua saudara kembar dan saling berkait yang tidak boleh dipisahkan.

    Agama itu ibarat ketua dan pemimpin itu adalah pengawalnya, maka sesuatu yang tidak mempunyai ketua dengan sendirinya akan rosak dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal dengan mudah akan hilang.

    Tambah beliau, berpandu daripada nas-nas Al-Quran boleh ditegaskan bahawa prinsip keadilan dalam Islam adalah bersifat syumul (sejagat dan menyeluruh). Ia menghendaki supaya keadilan itu ditegakkan dalam semua aspek kehidupan sama ada rumah tangga, sosial, ekonomi, politik, perundangan dan hubungan antarabangsa.

    Malah Al-Quran menghendaki agar pemimpin hendaklah berlaku adil terhadap golongan bukan Islam dan pihak musuh Islam serta para tawanan perang. Sebagai contoh, Islam tidak membenarkan orang Islam untuk menzalimi orang bukan Islam yang berada di negara Islam mahupun ketika ia berada di negara bukan Islam. Menurutnya, keadilan dalam Islam tidak terbatas dalam kalangan umat Islam semata-mata, bahkan rahmat keadilannya turut berhak diterima oleh golongan bukan Islam.

    Namun pada masa sekarang, kita sering kali mendengar dan melihat bahawa musuh-musuh Islam kini tidak lagi mengenal erti keadlilan mahupun belas kasihan terhadap orang-orang Islam di seluruh dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda