Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran sumber perpaduan masyarakat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Al-Quran menjadi sumber keberkatan yang mengikat hati masyarakat sekali gus mampu melahirkan suasana harmoni dan damai.

    “Inilah salah satu bukti ibadah membaca Al-Quran yang memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah kita,” jelas Ketua Kampung (Kg) Sungai Besar, Kg Serdang dan Kg Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Ahli Tadarus Subuh Masjid Kg Sungai Besar, hari ini.

    Beliau turut melahirkan rasa syukur selepas kumpulan berkenaan berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran sambil menyifatkan hubungan kerjasama erat dalam kalangan jemaah amat terserlah membina perpaduan.

    Pada majlis khatam yang diadakan di Baitul Nur Zannah, iaitu kediaman Haji Zulkifli bin Haji Rauf selaku salah seorang ahli Tadarus Subuh Masjid Kg Sungai Besar itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail yang juga mengetuai bacaan takhtim dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Antara yang turut menyertai majlis khatam berkenaan ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kg Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Ahli Tadarus Subuh Masjid Kg Sungai Besar bergambar ramai pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN AJK MASJID KG SG BESAR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda