MOGADISHU, 30 SEPT – Kumpulan militan Al-Shabaab mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan di pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Somalia hari ini, ketika Kesatuan Eropah (EU) mengesahkan serangan berasingan berlaku ke atas konvoi penasihat Itali.
Militan menyerang pangkalan AS di Baledogle, kira-kira 110km barat laut bandar Mogadishu, menggunakan bahan letupan sebelum lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke kawasan itu.
Dalam satu kenyataan, Al-Shabaab berkata, “Pada awal pagi ini, unit tentera elit…melancarkan serangan berani ke atas pangkalan tentera AS.”
“Selepas menceroboh masuk ke kawasan pangkalan yang dikawal ketat, Mujahideen menyerbu kompleks tentera dan terlibat dalam pertempuran hebat.”
Misi AS ke Somalia menafikan pejuang Al-Shabaab menceroboh masuk ke kem pertahanan, mengatakan pasukan keselamatan Somali berjaya menangkis serangan.

“Pasukan keselamatan berjaya menghentikan serangan gagal itu atas kewaspadaan dan tindak balas pantas, tidak memberi peluang penyerang menceroboh kawasan pertahanan luar pangkalan,” kata misi dalam satu kenyataan.
“Kami bernasib baik tiada korban jiwa terjadi ke atas SNA (Tentera Kebangsaan Somali) semasa serangan berganda itu.”
Baledogle merupakan tapak pelancaran utama operasi dron AS ke atas Al-Shabaab, kumpulan yang berkaitan dengan Al-Qaeda yang mengawal sebahagian Somalia dan IS dalam kelengkapan Somalia.
“Dua letupan kuat berlaku, yang pertama lebih kuat dari serangan yang kedua.
“Setelah itu, berlaku berbalas-balas tembakan selepas letupan itu namun kami tidak tahu butiran lanjut,” kata Mohamed Adan, warga Somali yang berada dekat dengan kejadian serangan memberitahu AFP melalui telefon. – AFP