Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Al-Sultan Abdullah mahu pembangunan Sabah, Sarawak sebaik mungkin

    KUALA LUMPUR, 29 JAN – Kembara Kenali Borneo, sebuah idea dan hasrat penjelajahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengenali penduduk Sabah dan Sarawak mencetuskan fenomena yang terpahat di ingatan bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Menyifatkan satu pengalaman manis hingga ke akhir hayat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah hasrat Seri Paduka berdua dan keluarga awalnya percutian untuk menikmati keindahan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang, sekali gus mengenali rakyat tempatan, budaya, adat resam dan seni kraf pelbagai suku kaum.

    Bagaimanapun, keberangkatan julung kali Agong serta rombongan ke pedalaman kedua-dua negeri mendapat sambutan luar jangkaan dan kehadiran luar biasa masyarakat tempatan di setiap destinasi.

    Lawatan dan persinggahan Kembara Kenali Borneo pada 3 hingga 13 September tahun lepas menjadi fenomena sehingga sohor kini menerusi media sosial ketika itu.

    “Satu pengalaman cukup manis bagi saya, kenangan sampai akhir hayat saya dan kadangkala bila saya tidak buat apa-apa tengah malam, saya teringat kembali, menangis dan sayu kerana sambutan yang diberi sangat di luar jangkaan.

    “Saya berterima kasih sangat dan Raja Permaisuri pun (berterima kasih),” titah Al-Sultan Abdullah dalam wawancara bersama editor dan wartawan kanan media utama di Istana Negara baru-baru ini, sempena berakhirnya tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli bermukun di Pesta Keramaian bersama rakyat di Pantai Bungai Bekenu, Miri, Sarawak pada 10 September 2023. – Bernama

    Penjelajahan itu disifatkan sebagai satu pengalaman baharu yang secara tidak langsung memberikan peluang kepada rakyat mengemukakan masalah khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kedua-dua negeri itu.

    Sambil menunjukkan sebahagian surat aduan diterima serta buku laporan tindakan diambil kerajaan susulan penjelajahan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah setiap projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang diumumkan kerajaan mesti dilaksanakan sebaik mungkin tanpa sebarang ketirisan.

    Seri Paduka bertitah sekiranya berlaku ketirisan dalam setiap projek itu, maka penduduk di Sabah dan Sarawak akan ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding rakyat di Semenanjung.

    Al-Sultan Abdullah bertitah peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah dan Sarawak juga amat penting untuk dititikberatkan memandangkan saiz kedua-dua negeri yang lebih besar daripada Semenanjung.

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta jabatan dan agensi yang terlibat menjayakan kembara itu.

    Pasangan diraja berkenaan menyelami kehidupan penduduk di Sabah dan Sarawak menerusi Kembara Kenali Borneo yang diketuai Al-Sultan Abdullah dengan Seri Paduka berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mengharungi perjalanan sejauh 2,332km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...