Alai Gayoh cerminan keunikan budaya puak Dusun

Oleh Sim Y. H.

Sering kali kita mendengar dan menyaksikan mengenai keunikan reka bentuk rumah masyarakat tradisional di luar negara yang dijadikan sebagai tarikan untuk memperkenalkan budaya, kehidupan serta sejarah masyarakat tersebut.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan sendiri keunikan reka bentuk rumah tradisional masyarakat Brunei khususnya Puak Dusun, kunjungilah lokasi menarik yang menyembunyikan khazanah unik puak tersebut di Kampung Bukit Udal iaitu replika sebuah rumah tradisional yang dikenali sebagai Alai Gayoh Anak Pulau, Bukit Kukub.

Ia merupakan sebuah tarikan pelancongan berasaskan komuniti di Kampung Bukit Udal di mana aktiviti-aktiviti yang dikendalikan di Alai Gayoh Anak Pulau merupakan sokongan kepada projek Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang bermatlamat untuk menjadikan kampung dan masyarakatnya lebih kreatif serta inovatif dan pada masa yang sama, menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Alai Gayoh yang bermaksud rumah besar dibina pada 2010 merupakan replika reka bentuk rumah tradisional masyarakat Dusun.

Rumah Alai Gayoh Anak Pulau bekerjasama dengan Majlis Perundingan Kampung Bukit Udal menawarkan pelbagai produk-produk pelancongan termasuk aktiviti alam semula jadi, pengembaraan dan kraf tangan tempatan dalam mempromosikan Kampung Bukit Udal sebagai destinasi pelancongan.

Tarikan tersebut telah mencatatkan kira-kira 200 orang pengunjung pada 2019 termasuk penyelidik-penyelidikan yang membuat kajian ke atas hutan sekeliling lokasi itu.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menanam pokok kelapa semasa lawatannya ke Alai Gayoh Anak Pulau dengan diiringi oleh Cikgu Benson (kiri).
Alai Gayoh Anak Pulau Bukit Kukub, khazanah puak Dusun yang unik serta tarikan pelancongan berasaskan komuniti bagi Kampung Bukit Udal.

Terima tempahan setiap minggu

Menurut Pengurus Alai Gayoh Anak Pulau, Awang Benson bin Tunggong, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah pengunjung ke Alai Gayoh berkenaan menunjukkan peningkatan terutama dalam kalangan pengunjung luar negara serta juga pengunjung dari dalam negara.

Namun, Awang Benson yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Benson menyatakan bahawa sejak penularan wabak COVID-19, mereka telah memberhentikan seketika aktiviti kunjungan ke Alai Gayoh.

Beliau juga menyatakan bahawa hampir setiap minggu mereka telah menerima tempahan daripada para pengunjung yang ingin menyaksikan keunikan budaya di Alai Gayoh dan walaupun jumlah mereka pada satu-satu masa itu tidaklah ramai, di mana kadang-kadang dua orang pengunjung pada satu masa atau sebuah keluarga, namun mereka akan ditawarkan untuk menyertai pelbagai jenis aktiviti menarik sepanjang kunjungan mereka ke tarikan berkenaan.

Menurut Cikgu Benson lagi, sering kali pengunjung ke Alai Gayoh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk melihat burung, melihat spesies pokok dan ada juga yang bermalam di rumah tersebut.

Beliau berkata pada satu masa, mereka menerima di antara lima hingga lapan orang pengunjung tetapi terdapat juga kumpulan lebih 10 orang pengunjung yang bermalam di Alai Gayoh dan mereka akan menyertai pelbagai jenis aktiviti menarik yang dikendalikan di sekitar Alai Gayoh Anak Pulau.

Keunikan rumah berkenaan ialah ia dibina di atas panggung menggunakan pelbagai jenis kayu yang didapatkan daripada pokok di hutan sekeliling dan rumah itu hanya dapat dimasuki menggunakan jambatan kaki diperbuat daripada kayu.

Cikgu Benson berkata rumah tersebut mengetengahkan konsep tujuh ruang termasuk serambi, sirang dan angkap di mana setiap ruang mempunyai sejarah atau kisahnya tersendiri dan para pengunjung yang datang ke rumah tersebut amat berminat untuk mengetahui mengenai kisah-kisah mengenainya.

Diisi dengan pelbagai aktiviti

Selain daripada itu, terdapat juga pengunjung yang datang ke sana untuk melihat keindahan kawasan di sekelilingnya dan yang gemar mengembara, jelasnya, akan berjalan memasuki hutan sejauh dua hingga empat kilometer untuk melihat sendiri keunikan ekosistem hutan semula jadi yang unik seperti kawasan tanah payah dan juga hutan kerangas.

“Setiap pelancong atau pengunjung yang datang ke sini, kami menawarkan pelbagai pakej untuk mereka, ada yang ingin untuk melihat burung, kami akan sediakan juru pandu iaitu penduduk kampung yang mahir dalam bidang tersebut, manakala ada yang mahu beriadah, kami ada menyediakan perahu untuk mereka dan bagi mereka yang berkunjung hingga ke waktu petang, mereka akan mendengar bunyi katak yang jarang sekali di dengar di kawasan bandar.”

Alai Gayoh Anak Pulau bukan hanya sebuah khazanah gaya hidup tradisional puak Dusun tetapi ia juga merupakan manifestasi kelangsungan budaya serta sejarah asli puak berkenaan.

Ia memainkan peranan yang penting sebagai tarikan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan budaya, gaya hidup, tradisi dan sejarah masyarakat Dusun bukan sahaja kepada pengunjung dari dalam dan luar negara tetapi juga kepada generasi muda puak Dusun.