Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alam perkahwinan bukan seperti yang diimpikan?

    Salam hormat kepada semua pembaca Media Permata yang dihormati. Pernahkah abiskita terbayang perjalanan hidup berumah tangga ani kadangkala inda lah seperti yang kitani impikan. Aku ingin berkongsi cerita tentang pengalaman yang seringkali tidak dibicarakan, iaitu perasaan bosan terhadap pasanganku ani setelah 10 tahun berkahwin.

    Aku masih ingat saat pertama kali ku berjumpa dengan isteriku. Segalanya terasa indah dan manis. Kami melalui fasa percintaan yang penuh dengan gelak tawa dan kegembiraan.

    Seiring dengan perjalanan masa, kami berkahwin dan memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri.

    Tahun-tahun awal perkahwinan atu memanglah penuh dengan kebahagiaan dan penemuan baharu. Setiap hari bersama adalah satu pengembaraan yang menyeronokkan.

    Namun, selepas satu dekad melayari bahtera perkahwinan, aku mula merasakan perubahan. Rutin harian yang sama, perbualan yang berulang dan tanggungjawab yang semakin banyak membuatkan aku berasa jemu.

    Gambar Freepik

    Perasaan ini timbul perlahan-lahan, seperti air yang meresap ke dalam tanah, hampir tidak disedari tetapi semakin lama semakin mendalam.

    Aku cuba untuk mengatasi perasaan ini. Aku mula mencari hobi baharu, bersosial dengan rakan-rakan, dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti. Namun, di penghujung hari, perasaan bosan itu masih wujud. Isteriku, yang dahulunya merupakan teman bicara yang paling aku nantikan, kini terasa seperti seseorang yang asing. Kami masih berkomunikasi, tetapi kehangatan dan keintiman itu semakin pudar.

    Perasaan ini membuatkan aku berfikir adakah aku sahaja yang melalui situasi ini? Adakah ini sesuatu yang biasa dalam alam perkahwinan jangka panjang? Aku mula membaca dan mencari nasihat tentang bagaimana mengatasi perasaan ini. Banyak yang menyarankan untuk memperbaharui komitmen, mencari aktiviti bersama yang baharu serta memperbaiki komunikasi.

    Dengan semangat baharu, aku berusaha menghidupkan kembali api cinta yang semakin malap.

    Aku ajak isteriku untuk bercuti, melakukan aktiviti yang kami pernah nikmati bersama suatu ketika dahulu, dan lebih terbuka dalam berkomunikasi.

    Aku juga cuba untuk lebih menghargai dan melihat kebaikan dalam dirinya, seperti mana aku pernah lakukan di awal perkahwinan kami.

    Namun begitu, tidak semua usaha yang dilakukan membuahkan hasil segera. Ada masanya jiwa aku masih berasa kosong dan jauh. Aku sering tertanya-tanya bagaimana hubungan kami akan berkembang selepas ini.

    Tetapi, satu perkara yang aku tahu, aku akan terus berusaha demi menjaga hubungan yang telah kami bina selama ini.

    Perasaan ini adalah sebahagian daripada realiti perkahwinan, dan aku masih mencari cara terbaik untuk menghadapinya.

    G Nal

    NASIHAT DANG MP

    Kepada saudara G Nal, kisah awda sebenarnya bukan setakat menggambarkan realiti yang dihadapi oleh ramai orang, tetapi juga memberikan harapan bahawa ada jalan keluar daripada kemelut masalah berumah tangga.

    Untuk menghadapi perasaan bosan dalam perkahwinan jangka panjang, terimalah perasaan itu sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup.

    Komunikasi terbuka dengan pasangan sangat penting demi menyelami dan memahami perasaan masing-masing dan mencari penyelesaian bersama.

    Carilah aktiviti baharu yang boleh dilakukan bersama dan ingat kembali kenangan manis masa lalu untuk memperbaharui keintiman.

    Selain itu, luangkan masa untuk diri sendiri dengan hobi baharu dan pertimbangkan mendapatkan bantuan kaunselor perkahwinan jika perlu.

    Dengan usaha dan komitmen, banyak masalah dapat diatasi bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda