Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alam semula jadi ‘guru’ tadika luar bandar

    CHINA – Rao Si merupakan satu-satunya guru di sebuah tadika yang mengajar 18 orang kanak-kanak di kampung pergunungan Tongren, wilayah Guizhou.

    Wanita berusia 31 tahun itu mendapati hasil kerja kerasnya berbaloi, kerana setiap hari dia melihat terdapat keajaiban dalam perkembangan pelajar-pelajarnya.

    “Kebanyakan murid dalam kelas saya adalah kanak-kanak tercicir, yang dijaga oleh datuk dan nenek mereka. Mereka seperti keluarga saya. Kami mengambil berat antara satu sama lain dan membesar bersama,” kata Rao.

    Pendidikan prasekolah adalah sesuatu yang tidak pernah didengari oleh kebanyakan orang di Tongren, kawasan yang dilanda kemiskinan di Pergunungan Wuling, ketika Rao dilahirkan di sana pada tahun 1991. Rupa bumi Tongren meliputi 67.8 peratus gunung-ganang.

    “Masa telah berubah secara dramatik sepanjang dekad yang lalu dengan setiap desa mempunyai tadika,” katanya.

    Sekumpulan kanak-kanak bermain di sebuah tadika di Tongren, wilayah Guizhou. – ANN/The China Daily
    Pemandangan salah sebuah tadika yang serba lengkap. – ANN/The China Daily
    Kelihatan beberapa orang guru merancang bahan pembelajaran. – ANN/The China Daily
    Dengan peningkatan bilangan tadika, kanak-kanak mempunyai peluang masa depan yang cerah. – ANN/The China Daily

    Tadika Desa Tangbian antara 100 tadika projek luar bandar yang dilancarkan bersama oleh Kementerian Pendidikan dan UNICEF pada 2016 untuk meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah di kawasan pergunungan Guizhou.

    Projek itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 kanak-kanak, dari umur tiga hingga enam tahun, di Guiyang, Zunyi dan Tongren, serta wilayah autonomi Qiandongnan Miao dan Dong.

    Di bawah projek itu, Rao dan guru lain menjalani latihan dan telah melawat tadika bandar untuk memerhati kelas dan berkongsi pengalaman mengajar dua hari setiap bulan.

    “Walaupun kami tidak mempunyai semua material mencukupi seperti di sekolah bandar, kami mempunyai kelebihan kami sendiri iaitu dekat dengan alam semula jadi, yang merupakan ‘guru’ yang terbaik, “ kata Rao.

    Berjalan keluar dari pintu tadika, awda boleh melihat padang teres. Di dalam sekolah, sebuah taman kecil mempunyai pelbagai tumbuhan, yang meningkatkan keupayaan murid untuk memerhati dan berfikir serta membantu mereka memperoleh pemahaman tentang sistem semula jadi melalui pengalaman langsung, menurut guru itu.

    Pelajaran seni, walaupun berdepan pelbagai halangan, seperti kekurangan alat muzik dan bahan lukisan tetapi Rao telah berjaya mendapatkan bantuan daripada Internet.

    “Saya sentiasa merasakan saya bukan guru mereka, tetapi seseorang yang membesar bersama murid-murid saya dan tadika,” kata Rao.

    Lu Xiaoqin, seorang guru di Tadika Desa Huaihuaping, menyuarakan pandangan bahawa kualiti pendidikan prasekolah telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Tetapan kurikulum kami dipelbagaikan, menjadikan pembelajaran menarik untuk kanak-kanak,” kata Lu, 36, sambil menambah di kelasnya dia lebih suka membiarkan murid memutuskan apa yang mereka mahu dan dengan siapa mereka mahu bermain.

    Karya seni kanak-kanak dipamerkan di dinding. Terdapat sudut bacaan, dan ruang untuk penciptaan seni dan kraftangan. Selepas sekolah, Lu masih perlu melakukan banyak tugasan, seperti perancangan pelajaran, penilaian dan penyediaan bilik untuk hari berikutnya.

    Termasuk tadika desa Tangbian dan Huaihuaping, Tongren mempunyai 1,822 prasekolah yang dibina atau diubah suai, mendaftarkan kira-kira 143,300 kanak-kanak. Tahun lepas, kadar pendaftaran untuk pendidikan prasekolah tiga tahun di bandar ini meningkat lebih 96 peratus daripada kira-kira 45 peratus pada 2010, menurut statistik daripada suruhanjaya pendidikan tempatan.

    Di sebalik angka itu adalah usaha gigih yang diambil oleh penggubal dasar dan pendidik tempatan. Pada 2014, kerajaan Tongren melancarkan program prasekolah dua tahun, yang melabur hampir 150 juta yuan (AS$22.34 juta) dalam bangunan tadika, menjadikan pendidikan prasekolah boleh diakses oleh semua kanak-kanak di desa dan memperkasakan mereka dengan pengetahuan melalui pembelajaran yang menyeronokkan

    Pada 2012, Yayasan Penyelidikan Pembangunan China dan daerah autonomi Songtao Miao di Tongren telah memulakan projek Tadika Perkampungan Pergunungan untuk mengubah 100 bilik darjah sekolah rendah dan menengah yang tidak digunakan untuk kanak-kanak prasekolah luar bandar di lima bandar perintis.

    Lu Mai, bekas naib presiden Yayasan Penyelidikan Pembangunan China, berkata kanak-kanak di kawasan luar bandar yang kurang membangun harus mempunyai akses yang sama kepada pendidikan prasekolah, yang merupakan langkah pertama untuk membasmi kemiskinan dan mobiliti sosial yang lebih tinggi.

    Di sebalik tindakan Tongren adalah latar belakang pihak berkuasa pusat yang lebih mementingkan pembangunan pendidikan prasekolah sejak sedekad yang lalu.

    Perbelanjaan pendidikan negara menyumbang 5.9 peratus daripada KDNK pada 2020, meningkat daripada 2.2 peratus pada 2011. Pada 2020, kerajaan melabur 253.2 bilion yuan dalam pendidikan prasekolah, peningkatan lima kali ganda pada 2010, menurut data rasmi.

    Menurut Kementerian Pendidikan, China mempunyai 295,000 tadika tahun lepas, meningkat daripada 128,000 pada 2011. Bilangan murid tadika meningkat 13.8 juta dalam dekad lalu kepada 48 juta tahun lepas.

    Antara tadika baharu, kira-kira 80 peratus terletak di rantau tengah dan barat, dengan sekitar 60 peratus di kawasan luar bandar. Menurut kementerian, kawasan-kawasan ini kurang membangun berbanding kawasan timur mereka dan lebih memerlukan sumber pendidikan. 

    “Jurang antara pendidikan prasekolah luar bandar dan bandar telah dikecilkan,” kata Lyu Yugang, dari Jabatan Pendidikan Asas Kementerian Pendidikan, pada sidang akhbar pada April lal. Mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan prasekolah akan menjadi keutamaan masa depan, tambahnya. – ANN/The China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda