Baru-baru ini tular video sedutan babak memperlihatkan pelakon asal Malaysia, Zara Zya dipeluk daripada belakang oleh hero drama Hati Tercarik Luka yang bakal bersiaran bermula esok.
Tampil mengulas mengenai adegan berkenaan, Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 38, mengakui tindakannya itu salah dan meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan.
“Betul memang ada babak-babak sebegitu tapi apa yang saya boleh cakap… saya minta maaf sangat-sangat. Kadang-kadang kita terlepas pandang dan tidak sedar benda itu.
“Orang pun tahu yang sebelum ini pun saya tiada babak sedemikian. Kali ini…. alamak, apa yang saya buat ni? Saya tak nak komen panjang tapi saya minta maaf,” katanya kepada mStar.
Zara berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Sayu Yang Syukur di Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Ditanya adakah babak tersebut disiarkan demi publisiti dan gimik drama, Zara pantas menafikan perkara tersebut.
Sebaliknya, Zara berkata dia bukanlah individu yang suka menggunakan publisiti murahan untuk menaikkan sesebuah drama dan nama.
“Saya tak pernah sengaja buat sesuatu untuk naikkan drama, naikkan nama. Selama ini saya tak ada kontroversi yang sengaja saya cari.
“Saya percaya pada drama, jika ia betul-betul bagus, jalan cerita dan pelakon,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zara juga memohon orang ramai terus memberikan sokongan terhadap karier lakonannya meskipun dia terpalit kontroversi.
“Saya tidak boleh nak halang seseorang itu nak minat atau tidak. Saya harap dia terus sokong saya dan jangan pandang sikit kesalahan terus nak hentam, apa-apa pun saya minta maaf,” ujarnya. – Agensi