Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Untuk mengukuhkan rantaian hubungan dengan institusi-institusi luar negara dalam memperluas lagi kerjasama antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan institusi pengajian tinggi serantau dan antarabangsa, KUPU SB telah menganjurkan Program Mobiliti Pelajar Serantau bermula dari 25 Jun hingga 3 Julai nanti.
Seramai 15 pelajar dari lapan universiti Indonesia, Malaysia dan Thailand men-yertai program berkenaan.
Gabungan universiti yang terlibat ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor, Universiti Mulawarman, Universiti Dharmawangsa, Universiti Pendidikan Indonesia, Universiti Islam Malang dan Universiti Kasersart, Thailand.
Antara pengisian program termasuk lawatan ke Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Pusat Sejarah dan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di mana pelajar diberikan taklimat terperinci berkaitan sejarah Brunei, beberapa aktiviti khidmat masyarakat dan sukan kayak di Daerah Temburong.
Program mobiliti berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar serantau berkenaan cara hidup masyarakat Brunei dengan pelbagai budaya, bahasa dan aspek-aspek sosial yang berkaitan kepada dunia luar.
Selain itu, untuk memperkenalkan keistimewaan Brunei sebagai sebuah negara beraja yang mengamalkan ajaran agama Islam dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.
Sehubungan itu, acara diharapkan dapat menghasilkan pengalaman-pengalaman dan kemahiran yang diperlukan bukan sahaja bagi pelajar KUPU SB yang terlibat, tetapi juga dapat menyalurkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar-pelajar mobiliti untuk dibawa kembali ke negara masing-masing.