Alami depresi kerana takut buat kesilapan

Penyanyi HyunA mendedahkan dirinya menghidap depresi selain kegelisahan melampau (anxiety attack) sejak tiga tahun lalu.

Menurut HyunA, dia mula berasa tertekan sebaik meningkat dewasa gara-gara terlalu takut melakukan kesalahan selain terpaksa tampil sempurna kerana statusnya sebagai selebriti terkenal.

HyunA memuat naik kisahnya itu menerusi posting di laman Instagram miliknya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, HyunA kemudiannya disahkan menghidap vasovagal syncope. Vasovagal syncope berlaku apabila kadar darah dalam badan berkurangan dan tidak cukup untuk mengepam darah dari jantung ke seluruh tubuh termasuk otak sehingga menyebabkan seseorang itu pitam.

Kata HyunA, sudah bertahun dia cuba menyembunyikan penyakitnya itu kerana bimbang jika tidak ditawarkan sebarang peluang untuk membuat persembahan. Bagaimanapun kini keadaannya semakin baik dan sedang menerima rawatan bagi penyakitnya itu.

“Satu hari, pandangan saya tiba-tiba menjadi gelap dan saya sering pengsan beberapa kali. Saya sangka ia disebabkan penyakit anxiety. Namun selepas dinasihatkan oleh doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan, saya didiagnos menghidap vasovagal syncope.

“Saya terpaksa merahsiakan perkara ini selama bertahun-tahun kerana bimbang jika tiada siapa yang mahu ambil saya bekerja sekiranya mereka tahu mengenai penyakit saya ini. Tapi sampai bila harus saya sembunyikan perkara ini? Kini saya sedar tiada manusia pun yang sempurna dan saya akan lebih jujur mengenai saya selepas ini,” ujarnya lagi. – Agensi

Kata HyunA, sudah bertahun dia cuba menyembunyikan penyakitnya itu kerana bimbang jika tidak ditawarkan sebarang peluang untuk membuat persembahan. – Agensi