Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alami depresi lebih setahun

    Meskipun perpisahan yang dipinta, namun tidak mudah buat penyanyi, Mimi Fly, 33, bangkit selepas berdepan dengan episod perceraian.

    Hidupnya berubah 360 darjah apabila menjadi kucar kacir, cepat naik angin, suka menyendiri dan lebih teruk, tidur sepanjang masa selepas bercerai dengan bekas suami pada Disember 2017.

    Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham tidak menyedari mengalami depresi hingga tewas mencarinya diri sendiri.

    Baru terbuka berkongsi luahan hati, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu berkata, dia langsung tidak menyedari perubahan sikapnya disebabkan depresi yang dialami selama setahun setengah.

    “Jujurnya, hidup saya huru-hara selama setahun setengah selepas berpisah dengan bekas suami. Apabila direnung semula, kenapa suka marah tidak tentu pasal, tak mahu keluar dan suka tidur sepanjang masa.

    Mimi Fly menyatakan dia langsung tidak menyedari perubahan sikapnya disebabkan depresi yang dialami selama setahun setengah. – Agensi

    “Saya terfikir kenapa dengan diri saya, sedangkan saya bukan jenis begitu. Rupanya, saya mengalami depresi tanpa sedar. Saya terpaksa bertemu pakar terapi diri untuk mendapatkan rawatan. Awalnya, amat sukar, tetapi saya gagahkan diri untuk menemui pakar. Saya memerlukan seseorang untuk mendengar rintihan hati,” katanya kepada media.

    Mimi mendirikan rumah tangga dengan pengurus One Nation Emcees, Mohd Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015. Bagaimanapun, perkahwinannya itu hanya bertahan selama dua tahun.

    Wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, episod hitam yang membeku dalam dirinya hanya disimpan dalam hati selama setahun setengah.

    “Tiada siapa tahu apa yang tersimpan dalam hati saya selama tempoh ini. Sebab itulah, tak boleh menghakimi seseorang kerana tidak tahu apa yang dilalui.

    “Saya pula bukan jenis suka berkongsi masalah peribadi. Melihat mama yang juga ibu tunggal dan memakai kerusi roda, tetapi tetap kuat menempuh ujian hidup. Saya anak dia, jadi saya kena kuat seperti mama.

    “Disebabkan itulah, saya tak pandai minta tolong, tetapi lama kelamaan barulah hati saya terbuka mohon pertolongan.

    “Tak kisah siapa kita, kena meluahkan masalah pada seseorang sebelum ia membunuh diri sendiri. Saya percaya ramai orang, termasuklah golongan selebriti berdepan dengan kecelaruan keresahan (anxiety disorder). Jadi, saya tak boleh malu meminta pertolongan lagi,” katanya.

    Pelakon filem Klip 3GP itu berkata, dia bernasib baik kerana mudah bangkit mencari kekuatan biarpun kehidupannya terumbang ambing tanpa pendayung selama setahun setengah.

    “Saya gembira hidup solo dan menjalani kehidupan sendiri. Saya kembali fokus pada diri sendiri, keluarga dan kerjaya. Bekas suami pernah menguruskan kerjaya saya, jadi saya bermula semula daripada kosong apabila berpisah dengannya.

    “Alhamdulillah, saya menemui pengurus baharu yang baik dan boleh menjaga serta menyokong kerjaya.

    “Saya juga kembali rapat dengan keluarga dan kini, tinggal bersama adik. Jika nak tanya mengenai teman pengganti, saya tidak mencari dan saya hidup solo. Saya rasa tak perlu tergopoh-go-poh mencari pasangan hidup,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda