PENYANYI dan pelakon, Zarul Husin mengalami retak tulang jari kelingking kaki kanan ketika menjalankan penggambaran drama.
Bekas penyanyi kumpulan Umbrella itu cedera sewaktu menjayakan babak lakonan menerusi drama terbaharunya berjudul Cokelat, Honey dan Red Velvet, baru-baru ini. Menceritakan insiden berlaku, Zarul berkata, dia perlu membawa motosikal dalam babak dijalankan itu.
“Bagaimanapun, sewaktu mahu mengelak sesuatu, motosikal digunakan tidak dapat dikawal dan hamper rebah.
“Saya cuba menyelamatkan motosikal dengan menampungnya menggunakan kaki,” katanya.
Zarul berkata, dia tidak merasai sebarang kesakitan sehinggalah setengah jam selepas itu apabila kakinya membengkak.

“Saya ingat kaki hanya terseliuh. Bagaimanapun apabila bengkak membesar dan semakin sakit, saya terus ke hospital selepas penggambaran selesai,” katanya.
Selepas ujian imbasan X-ray, doktor mengesahkan tulang jari kelingking kakinya retak dan perlu menggunakan besi pendakap.
Zarul berkata kecederaan itu membuatkan tumpuannya terhadap kerja terganggu.
“Minggu ini saya akan membuat kemunculan di Gegar Vaganza musim keempat dan perlu berduet dengan Hetty Sarlene.
“Penggambaran drama itu bagaimanapun perlu diteruskan. Saya tidak tahu bagaimana penggambaran dapat dilakukan kerana pendakap ini membuatkan saya bergerak tidak sempurna,” katanya. – Agensi