Alami kehidupan tradisional

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 DIS – Seramai 15 orang ahli jawatankuasa dan sukarelawan daripada Green Brunei berpeluang mengalami pelbagai gaya hidup tradisional semasa lawatan mereka ke kawasan pedalaman Belait, baru-baru ini.

Kumpulan Green Brunei yang diketuai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengarah Penglibatan Masyarakat, Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari itu telah dialu-alukan ke kawasan berkenaan oleh ahli-ahli Biro Wanita dan Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja.

Lawatan bertujuan untuk memberikan dan memberigakan pengetahuan berkaitan kepada peserta mengenai potensi ekopelanconagn di kawasan sekitar Daerah Belait terutamanya di kawasan luar bandar daerah ini.

Oleh itu, ahli-ahli dan sukarelawan diberikan penerangan mengenai pembangunan Rumah Panjang Teraja oleh salah seorang ahli Biro Wanita, Dayang Embong Munah yang menjelaskan mengenai penambahan rumah panjang tesebut untuk menampung perubahan aliran masa serta bagi ekopelancongan.

Di samping itu, salah seorang ahli jawatankuasa rumah panjang berkenaan, Awang Gaung Jamit turut menjelaskan secara terperinci mengenai pelbagai usaha yang dilakukan dalam sektor pelancongan yang membawa kepada pembangunan dan pengembangan serta bagaimana ia memberikan impak positif kepada pengunjung.

Semasa lawatan, kumpulan berkenaan turut mengikuti aktiviti seperti demonstrasi tenunan tikar, mempelajari kaedah tradisional memotong kayu dan kaedah memasak ayam
tradisional yang telah diamalkan oleh penduduk kawasan pedalaman sejak dahulu kala dan banyak lagi.

Selain itu, mereka juga melawat beberapa tempat menarik di kawasan sekitar seperti Ladang Kopi Labi.

Yang Berhormat Dayang Khairunisa bergambar ramai bersama rombongan Green Brunei pada akhir lawatan mereka. – Gambar daripada Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja