Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alami keracunan akibat guna termos sama selama 10 Tahun

    TAIWAN. 19 JUN – Seorang lelaki Taiwan meninggal dunia akibat disyaki keracunan plumbum selepas menggunakan termos berkarat yang sama selama lebih sepuluh tahun, walaupun terdapat tanda-tanda kemerosotan logam pada termos tersebut.

    Media Taiwan baru-baru ini melaporkan kematian tragis seorang lelaki dengan jangkitan paru-paru teruk akibat keracunan logam berat, menurut laporan Oddity Central.

    Lelaki berkenaan dilaporkan mula mengalami masalah kesihatan kira-kira setahun lalu dan ujian darah menunjukkan dia mengalami keracunan logam berat.

    Semasa cuba mencari punca jangkitan berkenaan, doktor telah mendapat tahu bahawa lelaki tersebut telah menggunakan termos yang sama setiap hari sejak 10 tahun lalu.

    Setelah memeriksa termos berkenaan, mereka turut mendapati karat telah terbentuk di permukaan dalamnya, namun ia dihiraukan oleh pesakit dan terus menggunakannya untuk menyimpan minuman seperti kopi, teh dan jus.

    Malangnya, walaupun melihat karat dan mengetahui bekas termos tersebut jelas bukan diperbuat daripada bahan kalis karat, pesakit terus menggunakannya.

    Tambahan lagi, dia juga hanya bergantung kepada cara bilas yang mudah untuk membersihkannya.

    Tidak jelas bila termos berkenaan mula membocorkan logam berat ke dalam minuman, tetapi pada masa pesakit muncul di hospital, ia sudah pun terlambat.

    Keracunan itu menjejaskan sistem imun pesakit dan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh doktor, dia meninggal dunia akibat radang paru-paru kurang daripada setahun selepas diagnosis awalnya.

    “Termos tersebut mungkin telah digunakan untuk jangka masa yang lama dan toksin yang terbentuk apabila minuman berkarbonat seperti cola yang disimpan dalam termos berkarat tersebut mungkin telah masuk ke dalam badan pesakit,” doktor membuat kesimpulan.

    Kes tragis lelaki itu telah dikongsi oleh media utama di Taiwan sebagai kisah amaran, dengan pakar kesihatan menasihati orang ramai untuk memastikan mereka memilih termos yang diperbuat daripada keluli tahan karat 304.

    Selain itu, elakkan mengisi termos dengan minuman berasid dan pastikan untuk membersihkannya dengan kerap serta menggalakkan penukaran termos selepas dua atau tiga tahun penggunaan berterusan. – Agensi

    Termos harus ditukar setelah digunakan secara berterusan selepas dua, tiga tahun. –  Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda