Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alami keunikan pelayaran sungai terbaharu

    Oleh Sim Y.H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Sebagai inisiatif berterusan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan tawaran pelancongan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melancarkan dua pelayaran sungai yang baru dinaik taraf iaitu Brunei River Heritage Cruise dan Brunei Safari River Cruise yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, kelmarin.

    Pelancaran pelayaran sungai berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KSSUP, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan serta ahli-ahli Jawatankuasa Kumpulan Kerja Peningkatan Eko-Pelancongan (JKPP).

    Majlis dihadiri oleh lebih 80 orang jemputan termasuk ejen-ejen pelancongan dan wakil-wakil media yang bermatlamat untuk mempromosikan pelayaran sungai baharu berkenaan serta menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menarik pelancong-pelancong tempatan dan antarabangsa.

    Pada majlis berkenaan, Pemangku Pengarah JKP, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti oleh pelancaran rasmi dua pelayaran sungai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf, sebagai mercu tanda signifikan dalam usaha Brunei untuk meningkatkan sektor ekopelancongan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyempurnakan pelancaran pelayaran sungai pada majlis yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Hadirin menyertai salah satu pelayaran yang baru diperkenalkan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Satu lagi acara kemuncak pada acara berkenaan ialah pelancaran papan tanda jeti sungai yang baru dibina yang terletak secara strategik di sepanjang Sungai Brunei dan Sungai Kedayan.

    Papan-papan tanda berkenaan merupakan usaha kerjasama antara JKP dan JKPP yang direka untuk memberikan panduan yang berharga kepada pelawat dan penduduk tempatan, menawarkan gambaran menyeluruh dalam kesalinghubungan sungai dan tempat-tempat menarik di sepanjangnya.

    Selepas pelancaran, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bersama tetamu khas berpeluang menikmati pengalaman pelayaran sungai yang baru diperkenalkan serta menyaksikan sendiri penambahbaikan yang dibuat kepada pelayaran berkenaan.

    Brunei River Heritage Cruise kini menawarkan pelayaran yang mengasyikkan melalui warisan kaya Brunei dengan memasukkan tapak-tapak bersejarah signifikan tambahan seperti Pulau Chermin, Pulau Keingaran dan Makam Di Luba.

    Manakala Brunei Safari River Cruise menawarkan peluang yang unik untuk meneroka biodiversiti Brunei yang menarik, mengetengahkan laluan baharu sepanjang Sungai Kedayan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda