Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alami proses penghasilan filem

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Mahakarya Institute of the Arts Asia (MIAA) telah mengecap pencapaian yang bermakna apabila siswa kumpulan pertama institusi tersebut akan menamatkan pengajian mereka menjelang bulan Mac 2021 depan.

    Menurut salah seorang daripada pelajar yang bakal menamatkan pengajian di MIAA, Awangku Ahmad Alfathullah meluahkan rasa teruja namun sedih setelah menamatkan pengajian di peringkat diploma.

    Beliau turut mengongsikan sepanjang dua tahun menimba ilmu di MIAA, banyak perkara yang telah dipelajari dan bercita-cita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang penghasilan filem.

    Di samping itu MIAA juga akan memperkenalkan kursus tahap pengenalan tidak lama bagi mempelbagaikan program dan kursus yang telah dan sedang ditawarkan pada masa ini yang berkaitan mengenai industri perfileman.

    Bagi mempersiapkan kemasukan pelajar baharu pada bulan Mac nanti, MIAA telah mengadakan hari terbuka institusi berkenaan bermula hari ini sehingga hujung bulan ini.

    Antara aktiviti yang diadakan semasa hari terbuka bagi melihat dengan lebih dekat proses menghasilkan filem.- Gambar serahah MIAA

    Potongan harga akan diberikan kepada mereka yang membuat pendaftaran awal untuk mengikut pengajian di institut tersebut sama ada bagi program sijil atau peringkat diploma.

    Sepanjang hari terbuka tersebut, pelbagai aktiviti telah disusun yang berkaitan dengan penayangan atau aktiviti berasaskan media untuk dilihat dengan lebih dekat lagi dan merasai sendiri pengalaman penghasilan filem dengan menggunakan skrin hijau dan sebagainya.

    Di samping itu beberapa buah filem pendek turut ditayangkan semasa hari terbuka tersebut yang mana dihasilkan sendiri oleh para pelajar MIAA sendiri semasa mereka menjalankan tugasan mereka di sana.

    Pengarah Filem dan Pengasas Bersama MIAA, Siti Kamaluddin turut menjelaskan bahawa ‘Bangsawan Awards’ turut diperkenalkan di mana pertandingan pembikinan filem pendek yang dibukakan kepada pelajar sekolah menengah di negara ini bagi merebut hadiah utama berupa biasiswa peringkat Diploma dalam Skrin dan Media selama dua tahun di MMIA.

    Orang ramai yang berminat adalah dialu-alukan untuk hadir ke hari terbuka berkenaan yang diadakan hingga hujung minggu ini bertempat di Batu Satu atau bolehlah melayari laman sesawang MIAA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda