PERNAH berjaya menjadi satu fenomena pada tahun 2004, The Incredibles merupakan sebuah filem animasi terbitan Pixar Animation Studios yang berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$633 juta.
Selepas 14 tahun berlalu, sekuel filem animasi tersebut diterbitkan lagi pada tahun ini dan ia juga kelihatan berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
Berdasarkan kepada populariti yang diraih dari dua buah filem animasi itu telah berjaya menarik minat Traveller’s Tales untuk menerbitkannya ke dalam bentuk sebuah permainan video dengan melakukan visualisasi LEGO yang sangat menarik.
Sebelum ini, Traveller’s Tales memang telah berjaya menerbitkan pelbagai permainan video dengan konsep LEGO yang memang berjaya mendapat hasil jualan yang agak positif seperti LEGO Star Wars dan Indiana Jones.
Menariknya, ia juga permainan video pertama yang menjalinkan kerjasama di antara Traveller’s Tales dengan Pixar Animation Studio.


Beraksi tanpa terduga
Kisah bermula dengan menampilkan keadaan kehidupan yang cukup aman damai telah menjadi huru-hara apabila muncul sekumpulan antagonis dikenali sebagai Underminer.
Kemunculan kumpulan antagonis tersebut secara tidak langsung telah memaksa keluarga Incredibles yang dianggotai oleh Mr Incredible, Mrs. Incredible, Violet, Dash dan Jack-Jack kembali beraksi untuk menyelamatkan keadaan.
Di samping itu, rakan karib keluarga mereka iaitu Frozone juga turut menghulurkan bantuan dalam menyelesaikan misi tersebut.
Tanpa diduga pihak berkuasa di kawasan itu juga kurang setuju dengan sebarang campur tangan yang ditonjolkan oleh keluarga Incredibles sehingga sentiasa berusaha untuk menghalangnya.
Dari situ, dua adik-beradik iaitu Winston Deavor dan Evelyn Deavor yang memiliki sebuah syarikat telekomunikasi telah berusaha untuk mengembalikan semula kuasa keluarga Incredibles dan bersetuju untuk memudahkan laluan mereka dalam mengembalikan semula keamanan.
Menggunakan kuasa sebaiknya
Sebagaimana dengan permainan video lain berkonsep LEGO terbitan Traveller’s Tales lain setentunya LEGO The Incredibles adalah sebuah permainan video yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Lebih menarik lagi, apabila permainan video ini bukan sahaja ditawarkan secara Single Player malah ia juga turut boleh dimainkan secara Co-op.

Permainan video ini memberi peluang kepada pemain untuk mengawal karakter utama dalam filem The Incredibles seperti Mr. Incredible yang memiliki kuasa kekuatan tenaga, Mrs Incredible atau Elastigirl berupaya untuk mengubah bentuk badan mengikut kemahuannya, Violet berupaya untuk menjadi halimunan dan Dash yang berupaya untuk berlari pada tahap kelajuan yang pantas.
Dengan kemampuan yang dimiliki oleh mereka itu, setentunya pemain harus mengawal karakter-karakter tersebut untuk memastikan keamanan di kawasan bandar raya itu.
Beberapa karakter lain seperti Flik dari A Bug’s Life dan Merida dari Brave juga turut ditampilkan dalam permainan video ini.
Pemain juga akan melalui sebuah kisah pengembaraan yang penuh mencabar di mana pihak musuh akan sentiasa berusaha untuk cuba mematahkan sebarang tingkah laku yang dilakukan dalam mencapai kejayaan pada sesebuah misi.
Kumpulkan setiap barangan yang ditemui kerana ia secara tidak langsung turut dapat membantu dalam meningkatkan tahap kemampuan karakter yang dikawal.
Seperkara yang pemain yang harus ketahui adalah sesetengah kuasa yang dimiliki juga secara tidak langsung dapat membantu untuk melancarkan lagi perjalanan sesebuah misi.
Antaranya adalah seperti Elastigirl yang berupaya untuk membentuk badannya menjadi tangga atau jambatan, Dash berupaya untuk lari dengan pantas tanpa disedari oleh pihak musuh dan Violet pula berupaya untuk melindungi diri dengan kuasa istimewa yang dimilikinya.
Justeru, sekiranya anda telah menonton filem Incredibles 2 dan ingin menerokai dunia filem animasi yang sangat menarik itu maka jangan terlepas untuk mencubanya dalam LEGO The Incredibles yang dikeluarkan untuk platform Microsoft Windows, PlayStation 4, Xbox One dan Nintendo Switch.