TOKYO, 19 DIS – Seorang bekas petani di Jepun telah disabit bersalah oleh Mahkamah Daerah Kyoto hari ini kerana mencuri lebih 200 kilogram daun bawang daripada petani lain selepas hasil tanamannya musnah akibat musim panas ekstrem, lapor media tempatan.
Ketika menjalani perbicaraan bulan lalu, lelaki berusia 28 tahun itu dilaporkan telah memberi alasan bahawa cuaca panas telah menjejaskan hasil tanamannya.
Namun, mahkamah menyifatkan tindakan mencuri daun bawang bernilai sekitar 200,000 yen (AS$1,300) pada Ogos dan September lalu sebagai perbuatan ‘berniat jahat’.
Mahkamah mendapati ‘tiada alasan yang boleh mengurangkan kesalahan’ dalam keputusan lelaki itu untuk ‘mencuri daripada petani lain untuk menampung kerugian akibat cuaca yang tidak menentu,” kata syarikat penyiaran tempatan Kansai TV.
Bekas petani itu, yang kini telah bersara daripada bidang pertanian, dijatuhi hukuman penjara dua tahun, namun hukuman tersebut digantung selama tiga tahun, menurut laporan itu.
Musim panas tahun ini di Jepun mencatatkan rekod terpanas yang sama pada tahun 2023, dengan gelombang haba ekstrem akibat perubahan iklim melanda banyak bahagian dunia.
Gunung Fuji, yang terkenal dengan puncak bersaljinya, juga tidak menunjukkan tanda salji untuk tempoh paling lama yang pernah direkodkan, hanya muncul pada awal November berbanding purata awal Oktober. – AFP