SAN FRANCISCO, 24 OKT – Syarikat penerbangan Alaska Airlines menyambung semula operasinya kelmarin selepas gangguan teknologi maklumat (IT) yang menyebabkan semua penerbangannya digantung selama beberapa jam, tiga bulan selepas insiden serupa berlaku.
“Operasi Alaska Airlines telah dipulihkan selepas gangguan IT besar menyebabkan pemberhentian sementara semua penerbangan di seluruh sistem,” kata syarikat berpangkalan di Seattle, Amerika Syarikat (AS), itu dalam satu kenyataan awal Jumaat, kira-kira lapan jam selepas gangguan bermula.
Sekurang-kurangnya 229 penerbangan telah dibatalkan dan “gangguan tambahan dijangka berlaku ketika kami menyusun semula pesawat dan kru di seluruh rangkaian penerbangan kami,” tambah kenyataan itu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah menarik balik notis amaran yang menunjukkan semua penerbangan syarikat penerbangan kelima terbesar AS itu digantung.
Gangguan yang bermula sekitar jam 3:30 petang itu “bukanlah insiden keselamatan siber dan tidak berkaitan dengan sebarang kejadian lain,” kata Alaska Airlines dalam kenyataan terdahulu.
Masalah itu bermula “akibat kegagalan di pusat data utama kami,” tambah syarikat itu, sambil menegaskan bahawa keselamatan penerbangan kami tidak pernah terjejas.
Penghentian operasi turut menjejaskan syarikat subsidiarinya, Horizon Air, tetapi tidak melibatkan Hawaiian Airlines. – AFP


