Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alaska dilanda gempa bermagnitud 8.2

    WASHINGTON, 29 JULAI – Gempa bumi berkekuatan 8.2 magnitud pada kedalaman cetek menggegarkan luar semenanjung Alaska malam tadi, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) hingga mendorong amaran tsunami dikeluarkan.

    Katanya, gempa bumi yang terletak 91 kilometer di tenggara bandar Perryville, disusuli dengan amaran tsunami yang dikhuatiri berlaku di selatan dan Semenanjung Alaska.

    Sehubungan itu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami untuk tenggara Alaska.

    “Gelombang tsunami yang berbahaya akibat gempa bumi ini dijangka berlaku sehingga tiga jam yang membabitkan beberapa persisiran pantai,” kata Sistem Amaran Tsunami AS dalam satu kenyataan. Perryville ialah sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 500 batu dari Anchorage, bandar terbesar Alaska.

    Gempa berkekuatan 7.5 magnitud mengakibatkan gelombang tsunami di pantai selatan Alaska pada Oktober tahun lalu, namun tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa.

    Alaska adalah sebahagian daripada negara yang terletak di lingkaran api Pasifik yang aktif secara seismik.

    Alaska pernah dilanda gempa berkekuatan 9.2 magnitud pada Mac 1964, yang paling kuat pernah tercatat di Amerika Utara.

    Ia memusnahkan bandar Anchorage dan mengakibatkan tsunami yang meranapkan Teluk Alaska, pantai barat AS dan Hawaii. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda