LONDON, 2 SEPT – Alat kecerdasan buatan (AI) yang menganalisis imbasan otak pesakit strok dengan segera telah membantu meningkatkan peluang pemulihan sepenuhnya sejak dilancarkan di seluruh England, kata perkhidmatan kesihatan awam hari ini.
“Teknologi itu menganalisis imbasan otak untuk mendiagnosis jenis dan keseriusan strok serta membantu doktor membuat keputusan lebih cepat mengenai rawatan yang betul,” kata Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) England dalam kenyataan media.
Ia telah dilancarkan di lebih 100 pusat strok NHS tahun lepas dan sejak itu berpotensi membantu beribu-ribu pesakit pulih sepenuhnya daripada strok.
Teknologi AI boleh mengurangkan masa antara pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan bagi menyelamatkan nyawa sebanyak 60 minit, menurut analisis peringkat awal.
Ia juga telah menunjukkan tiga kali ganda kemungkinan pemulihan tanpa hilang upaya, daripada 16 peratus kepada 48 peratus, menurut perkhidmatan kesihatan.

“Teknologi sokongan keputusan AI ini merevolusikan cara kami membantu orang yang telah terjejas oleh strok,” kata Pengarah Klinikal Kebangsaan untuk Strok NHS England, David Hargroves.
“Dianggarkan pesakit kehilangan kira-kira dua juta sel otak seminit pada permulaan strok, itulah sebabnya diagnosis dan rawatan pantas sangat kritikal,” tambah Hargroves.
Dengan kira-kira 38,000 kematian berkaitan strok setahun, ia adalah punca kematian keempat teratas di United Kingdom (UK).
Menurut kerajaan, pada Jun lalu, UK mengasaskan rangkaian antarabangsa pengawal selia kesihatan yang memfokuskan pada penggunaan AI, dengan harapan membawa alat AI yang dipercayai ke klinik dengan lebih cepat. – AFP

