Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alat kelui meletup ragut 9 jiwa, institusi pendidikan ditutup

    BEIRUT, 18 SEPT – Lubnan kelmarin mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara hari ini, susulan letupan alat kelui atau pager yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa dan mencederakan ribuan yang lain, lapor agensi Anadolu.

    “Kami mengumumkan penutupan sekolah awam dan swasta, Universiti Lubnan dan semua institusi pengajian tinggi swasta pada Rabu sebagai kecaman terhadap tindakan jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat,” kata Menteri Pendidikan Lubnan, Abbas Halabi.

    Beliau juga menyeru ‘masyarakat global untuk menghentikan mesin pembunuh Israel, yang tidak menunjukkan belas kasihan atau perbezaan dan telah melakukan jenayah kolektif yang belum pernah terjadi terhadap rakyat Lubnan.’

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Firas Al-Abiad berkata sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam insiden letupan di beberapa kawasan di Lubnan, kelmarin.

    Kira-kira 2,750 lagi cedera, dengan 200 daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

    Acara pengebumian Fatima Abdallah, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang terkorban selepas beratus-ratus peranti pager meletup, di kampung Saraain di lembah Bekaa pada 18 September. – AFP

    Hizbullah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua anggotanya terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kejadian itu.

    “Kira-kira 3:30 petang Selasa, 17 September 2024, beberapa alat kelui yang digunakan oleh pelbagai unit dan institusi Hizbullah meletup,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

    Kumpulan itu menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian itu dan berikrar untuk membalas dendam terhadap Tel Aviv.

    Kementerian Kesihatan Lubnan sebelum ini menggesa semua rakyat yang memiliki peranti komunikasi itu supaya segera membuangnya.

    Letupan besar-besaran berlaku di tengah-tengah serangan balas rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda