Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alat penyimpanan benang pemudah akses, lebih teratur

    Oleh Amri HTZ –

    Memiliki kemahiran menjahit merupakan kelebihan untuk seseorang mempamerkan kreativiti selain dapat berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan. 
    Selain peralatan menjahit, beberapa alat tambahan juga diperlukan dalam memastikan kerja menjahit lebih selesa dan cepat. Salah satunya ialah tempat penyimpanan benang terutama bagi mereka yang mempunyai koleksi yang banyak. Oleh sebab ia amat diperlukan, apa kata awda reka sendiri menggunakan beberapa barangan dan langkah yang mudah.
     

    Barangan yang diperlukan

    Pembaris atau pita pengukur
    Mesin pemotong kayu meja
    Dowel atau kayu penyepit
    Mesin gerudi
    Gam kayu
    Hot glue gun
    Tukul
    Vernier caliper
    Kepingan papan

    RATAKAN PERMUKAAN KAYU

    Kepingan papan yang tersedia terlebih dahulu diratakan sama ada menggunakan ketam kayu, mesin pemotong kayu ataupun kertas pasir. Setelah itu potong kayu dengan lebar 8 sentimeter (cm) dan panjang 21cm dan tebal ¾ inci untuk empat keping. (gambar 2)

    Selain penggunaan mesin pemotong kayu meja untuk memotongnya, awda juga boleh melakukan secara manual menggunakan gergaji. Untuk projek ini, mesin scroll digunakan bagi mempercepat langkah pemotongan. Potong mengikut garisan yang ditandakan sebelumnya sebagai panduan. (gambar 3)

    Langkah seterusnya ialah menandakan kedudukan di mana dowel sebagai pengantung gulungan benang ditempatkan. Jarak lebih kurang 4cm setiap satu diperlukan mengikuti kesesuaian merujuk kepada besar gulungan benang digunakan. Tandakan kedudukannya menggunakan pembaris pada keempat-empat potongan kayu tersedia. (gambar 4)

    GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 2. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 3. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 4. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 5. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 6. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 7. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 8. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 9. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 10. – GAMBAR OLEH MORENA DIY
    Gambar 11. – GAMBAR OLEH MORENA DIY

    TEBUK LUBANG UNTUK DOWEL

    Kedudukan bagi dowel yang telah ditandakan kemudiannya ditebuk menggunakan mesin gerudi jenis press. Jika mesin gerudi mudah alih digunakan, pastikan kedudukan mesin berada pada sudut yang sama ada menegak 90 darjah ataupun sebaliknya. Ini dalam memastikan kesemua dowel yang dimasukkan nanti mempunyai hasil akhir yang sama. (gambar 5)

    Langkah menebuk lubang pada permukaan kayu akan menghasilkan permukaan kayu yang tidak rata terutama pada bahagian belakang kayu. Oleh itu langkah seterusnya memerlukan ia diratakan semula sama ada menggunakan mata gerudi jenis countersink atau pisau utiliti. (gambar 6)

    POTONG DOWEL, CANTUM BAHAGIAN REKAAN

    Sebelum membolehkan kayu dowel atau alat penyepit berbentuk bulat yang akan dijadikan penggantung benang dimasukkan ke dalam lubang kayu, terlebih dahulu ia akan dipotong dengan panjang diperlukan.

    Panjang kayu yang diperlukan lebih kurang 9cm. Jika alat penyepit untuk makanan yang terbuat daripada buluh digunakan, setiap sebatang darinya boleh menghasilkan dua bahagian. (gambar 7)

    Bagi mencantumkan setiap kepingan kayu yang telah dipotong sebelumnya, skru kayu akan digunakan bersama gam kayu. Untuk awda yang lebih sukakan cantuman yang tidak terlalu ketara dari segi teknik mencantumkannya, penggunaan gam kayu dibantu alat pengepit untuk mengekalkan kedudukannya boleh digunakan. (gambar 8)

    Selain digunakan sebagai penggantung benang untuk rekaan, dowel atau alat penyepit yang tersedia juga akan digunakan sebagai kaki rekaan.

    Bagi dowel yang terlalu panjang, potongkan dengan hanya melebihkan 2cm pada bahagian bawah rekaan. (gambar 9)

    Menggunakan hanya hot glue gun atau super glue, awda hanya perlu melekatkannya pada bahagian percantuman kayu. Langkah ini berfungsi sebagai panduan untuk memastikan kaki rekaan seimbang dan menyembunyikan rupa cantuman. (gambar 10)

    Langkah terakhir sebelum membolehkan rekaan digunakan ialah memasukkan potongan kayu penggantung benang ke dalam lubang yang telah ditebuk. Sapukan permukaan hujung kayu dengan gam kayu sebelum memasukkannya dengan bantuan tukul untuk mengekalkan kedudukannya. Dengan langkah ini, rekaan kini boleh ditempatkan pada tempat bersesuaian bagi memudahkan awda mengambil dan menyimpan semula benang yang telah digunakan. (gambar 11)

    Tip pembuatan
     
    Kertas pasir berukuran 60 grit boleh digunakan untuk meratakan permukaan kayu diikuti dengan grit yang lebih tinggi bagi mendapatkan permukaan lebih halus.
     
    Jika benang yang dimiliki mempunyai ukuran besar, hanya lebar kayu dan kedudukan penggantung perlu diubah dan disesuaikan.
     
    Bahagian tengah rekaan juga boleh dimanfaatkan untuk menyimpan alatan menjahit dengan hanya perlu menepatkan kayu pada bahagian bawah sebagai penampung.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda