MADRID, 29 NOV – Eden Hazard sekali lagi cedera dan terpaksa digantikan di babak pertama ketika Real Madrid dikejutkan oleh Alaves 2-1 dalam saingan La Liga.
Pemain Belgium itu, yang musim pertamanya di Sepanyol dibelengu kecederaan, digantikan oleh Rodrygo pada minit ke-28.
Pengurus Real, Zinedine Zidane bagaimanapun berkata pemainnya itu hanya mengalami hentakan di lutut kiri.
“Eden, saya rasa dan berharap ia hanya kecederaan ringan. Itu yang dia beritahu kami. Ia hanya hentakan, bukan masalah otot,” kata Zidane.
Pemain 29 tahun itu hanya tampil 22 kali pada musim 2019-20 selepas menyertai Real dari Chelsea, meledak hanya satu gol.
Dia terlepas aksi pembukaan musim ini akibat kecederaan dan kemudian diuji positif COVID-19 pada 7 November lalu.
Dia menjaringkan gol Liga Juara-Juara pertamanya untuk Real menerusi sepakan penalti ketika kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan Rabu lalu. – AFP