SYDNEY, 22 MEI – Anthony Albanese yang Parti Buruhnya menang pilihan raya berjanji untuk memperbaharui hubungan Australia dengan dunia dan ingin memperbaiki reputasi Australia sebagai negara yang ketinggalan dalam perubahan iklim, ketika dia berusaha membentuk kerajaan sebelum sidang kemuncak utama di Tokyo.
Kemenangan tersebut telah menamatkan pemerintahan Parti Konservatif selama sedekad, dan Albanese memberi bayangan era yang lebih baik, hijau dan kurang permusuhan politik bagi Australia.
Pemimpin Parti Buruh berusia 59 tahun itu berkata undian kelmarin merupakan ‘saat penting’ dalam hidupnya, tetapi menegaskan dia ingin ia menjadi ‘saat yang penting bagi negara itu’.
“Saya ingin mengubah negara ini,” katanya.
Imej-imej kebakaran hutan, asbut yang menyelubungi bandar-bandar dan pemutihan terumbu karang telah menjadikan Australia contoh bagi kemusnahan akibat perubahan iklim.

Di bawah kepimpinan Parti Konservatif, negara itu, yang sudah menjadi salah sebuah negara pengeksport gas dan arang batu terbesar dunia, sudah menjadi sinonim menjadi contoh di perbincangan-perbincangan iklim antarabangsa.
Tetapi Albanese ingin memberitahu dunia bahawa ia kini bakal berubah.
Dia dan menteri-menteri utama dijangka mengangkat sumpah pada Isnin, sebelum menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin-pemimpin Jepun, India dan Amerika Syarikat (AS) yang digelar sebagai Quad.
“Perjumpaan pemimpin-pemimpin Quad merupakan keutamaan bagi Australia,” kata Albanese hari ini. “Ia membolehkan kami untuk menghantar mesej kepada dunia bahawa akan ada perubahan kerajaan.”
“Akan ada perubahan dasar, terutamanya berhubung dengan perubahan iklim dan pendekatan kami dengan dunia mengenai isu-isu tersebut.” – AFP