CANBERRA, 12 MEI – Perdana Menteri (PM) Australia, Anthony Albanese, berkata kelmarin beliau akan menggunakan lawatan rasmi ke Itali untuk membincangkan isu tarif dan perdagangan bebas dengan para pemimpin dunia.
Albanese turut mengesahkan beliau akan menghadiri upacara pelantikan Paus Leo XIV di Kota Vatican pada Ahad dan akan mengambil peluang itu untuk bertemu dengan pemimpin dunia lain, termasuk PM Kanada Mark Carney, bagi membincangkan isu perdagangan.
PM Australia itu telah memenangi penggal kedua dalam pilihan raya persekutuan pada 3 Mei, dijadualkan berlepas ke Indonesia pada Rabu untuk lawatan pertamanya ke luar negara sejak pilihan raya, sebelum berlepas dari Jakarta ke Rom.
Albanese berkata beliau tidak sabar untuk bertemu Carney secara bersemuka buat pertama kalinya semasa berada di Itali dan membincangkan ‘isu perdagangan dan tarif’ bersama pemimpin-pemimpin dunia.
Perbincangan antara Australia dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai perjanjian perdagangan bebas telah gagal pada tahun 2023.
Namun, kerajaan Albanese yang baru dipilih semula telah mengambil langkah untuk membuka semula rundingan susulan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat pada bulan April.
“Kami pernah cuba menjalin perjanjian perdagangan bebas dengan Eropah dan adalah wajar untuk mengadakan perbincangan lanjut sama ada rundingan itu boleh diteruskan,” kata Anthony Albanese kepada pemberita di Canberra.
Pada 2023, rundingan perjanjian perdagangan bebas menemui kegagalan, apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung akses pasaran EU bagi eksport pertanian Australia.
Akhbar News Corp Australia turut melaporkan Albanese telah bersedia untuk menawarkan pengecualian kepada EU daripada cukai import kereta mewah Australia sebagai pertukaran kepada akses yang lebih baik bagi eksport pertanian negara itu. – Xinhua
