Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Albanese tumpu kawalan harga menjelang pilihan raya

    SYDNEY, 30 MAC – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berjanji hari ini untuk mengharamkan amalan pencatutan harga oleh pasar raya dengan ancaman denda berat, menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada 3 Mei.

    Tindakan tegas terhadap pasar raya dan pemotongan cukai pendapatan yang mengejutkan merupakan antara beberapa cadangan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, yang sering disebut oleh pengundi sebagai kebimbangan utama.

    Tinjauan menunjukkan bahawa kerajaan berhaluan tengah-kiri dan pembangkang konservatif bersaing sengit dalam perlumbaan pilihan raya.

    “Rakyat Australia berhak mendapat keadilan ketika berbelanja. Kami akan memastikan rangkaian pasar raya besar bertanggungjawab,” kata Albanese kepada pemberita, sambil berjanji untuk memperkenalkan undang-undang baharu tahun ini.

    “Pencatutan harga berlaku apabila pasar raya mengambil kesempatan secara berlebihan,” katanya.

    Ketika ditanya bagaimana penyalahgunaan itu akan ditangani, dia menjanjikan “denda berat untuk memastikan bahawa jika mereka menipu rakyat, mereka akan dikenakan hukuman berat.”

    Albanese berkata, kerajaan akan menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada wakil perbendaharaan, pengawal selia persaingan dan kumpulan pengguna untuk menentukan tindakan yang perlu diambil.

    Dia menambah bahawa Australia sedang meneliti contoh peraturan harga yang tidak adil di luar negara, termasuk di Britain dan Kesatuan Eropah.

    Australia mempunyai salah satu sektor runcit yang paling tertumpu di dunia, dengan syarikat besar seperti Coles dan Woolworths memiliki kuasa yang besar dalam menetapkan harga bagi pengguna dan pembekal. – AFP

    Anthony Albanese berucap dalam sidang media di Bangunan Parlimen di Canberra pada 28 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda