TIRANA, 30 JUN – Penduduk Albania membuang undi hari ini dalam pilihan raya perbandaran yang telah menjadi titik pergolakan krisis demokratik, dengan pembangkang memulau pengundian dan enggan mengiktiraf keputusannya.
Negara Balkan itu telah dibelenggu krisis politik sejak Februari, apabila ahli politik pembangkang meletak jawatan daripada parlimen untuk melancarkan bantahan jalanan ke atas Perdana Menteri Sosialis Edi Rama.
Mereka menuduh beliau mempunyai hubungan jenayah dan memanipulasi pilihan raya, dakwaan yang dinafikan oleh beliau. Memetik pergolakan, Presiden Albania Ilir Meta mengumumkan satu penangguhan pilihan raya perbandaran pada awal bulan ini.
Namun Perdana Menteri Rama dan pihak berkuasa pilihan raya telah memutuskan untuk meneruskan dengan pengundian. Hari ini, kumpulan penyokong pembangkang membantah di luar beberapa stesen pengundian di ibu negara Tirana, melaung ‘Jangan undi!’ dan ‘Rama, pergi!’.
“Tidak ada sesiapa yang boleh halang saya daripada mengundi,” beritahu Arjan Celi, jurutera berusia 45 tahun, kepada AFP selepas membuang undi, berkata ia adalah tanggungjawab demokratiknya.
Sehari sebelum pengundian, pemimpin pembangkang sayap kanan Luzlim Basha menyeru penyokongnya supaya memulau pilihan raya dan mengadakan ‘tunjuk perasaan tidak ganas di semua tempat.’
Mereka menerima tekanan dari kuasa Barat supaya bertenang, dengan negara Eropah dan Amerika mengeluarkan amaran terhadap keganasan atau sekatan mengundi. – AFP
