DIVJAKE – Buah markisa, jambu batu, buah naga dan kiwano – perubahan iklim kini mendorong para petani Albania untuk menanam buah-buahan eksotik demi memenuhi permintaan pasaran Eropah.
Ladang kecil milik ahli agronomi veteran, Irakli Shkoza, yang terletak tidak jauh dari laut di tengah Albania, bagaikan sebuah Taman Firdaus di bawah terik matahari Adriatik.
Dengan suhu yang semakin meningkat setiap tahun, Shkoza mendapat ilham untuk mempelbagaikan tanaman pada tahun 2019 – ketika usianya sudah menjangkau tempoh persaraan bagi kebanyakan orang.
Kini berusia 75 tahun, beliau mula membawa masuk benih dari Afrika dan Amerika dan menanamnya di tanah seluas dua hektar.
Semua tanaman tersebut menyesuaikan diri dengan baik terhadap iklim tempatan yang hangat.
Terletak antara kawasan ladang dan pantai, wilayah Divjaka sebelum ini dikenali sebagai ‘gudang bijirin’ Albania. Kini, para petani di sana menanam sayur-sayuran dan tembikai untuk pasaran tempatan dan eksport.
PLANET SEMAKIN PANAS
Namun, peningkatan suhu dan kekurangan tenaga kerja – Albania yang berpopulasi 2.7 juta telah kehilangan 400,000 penduduk dalam tempoh satu dekad – sekali gus menjejaskan sektor pertanian.
“Buah-buahan eksotik tidak memerlukan banyak air dan penyelenggaraan, jadi kos pengeluarannya lebih rendah,” kata Shkoza.
Iklim Mediterranean yang biasa di Albania, dengan musim panas yang panas dan kering serta musim sejuk yang sederhana, kini telah berubah akibat pemanasan global.
Menurut kajian pada tahun 2022, suhu purata di Balkan Barat dijangka meningkat antara 3.5 hingga 8.8 darjah Celsius menjelang akhir abad ini sekiranya pelepasan gas rumah hijau kekal pada tahap sederhana hingga tinggi.
Gelombang haba dijangka akan menjejaskan hasil tanaman, terutamanya di Albania yang mencatat suhu purata tertinggi semasa musim panas, menurut penyelidik Daniel Muller dan Max Hofmann dari Institut Leibniz bagi Pembangunan Pertanian di Ekonomi Peralihan.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyumbang 19 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Albania pada tahun 2020.
Namun begitu, menurut Shkoza, perubahan iklim tidak semestinya membawa malapetaka jika kita mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkannya.
Beliau menegaskan para petani Albania perlu mula menanam lebih banyak buah eksotik agar dapat meraih keuntungan daripada iklim yang semakin sesuai.
“Buah-buahan berkenaan mendapat permintaan tinggi di pasaran Eropah, tetapi biasanya ia datang dari tempat yang jauh – Amerika Latin, Asia Tenggara, New Zealand, Australia,” jelasnya.
Penghantaran dari negara-negara tersebut bukan sahaja mahal, malah menjejaskan kesegaran buah.
Jika datang dari Albania, buah-buahan itu bukan sahaja lebih murah, tetapi juga lebih segar, kata ahli agronomi, Altin Hila.
Buah betik yang dijual di pasaran Eropah biasanya dipetik semasa masih hijau dan kemudiannya diperam secara buatan setelah sampai ke Eropah, jelas Vasil Nikolovski, seorang pengurus pengeluaran dari Macedonia Utara yang telah bekerja di Divjaka selama beberapa tahun.
“Di sini, buah-buahan itu boleh masak terus di pokok,” tambahnya.
“Albania mempunyai potensi untuk memenuhi permintaan pasaran Eropah melalui eksport buah eksotik, yang boleh menjana pendapatan antara 100 hingga 200 juta euro setahun.”
HASIL LUMAYAN
Shkoza kini sudah pun mengeksport buah naga, buah markisa dan pepino (juga dikenali sebagai pear tembikai yang berasal dari Amerika Latin) ke pasaran Eropah.
Bersama petani lain di wilayah Divjaka, beliau baru-baru ini menghantar 30 tan kiwano – juga dikenali sebagai timun bertanduk Afrika – kepada pembeli di Croatia.
“Dan hasil keluaran tahun ini dijangka sangat lumayan,” katanya sambil melihat bunga buah naga di ladangnya.
Kira-kira 55 kilometer ke barat berdekatan Elbasan, Lulzim Bullari pula telah mula menanam buah kiwi.
“Kami tidak boleh mengeluh tentang suhu yang tinggi – dua tahun kebelakangan ini, hasil kiwi sangat memberangsangkan,” katanya kepada AFP sambil berdiri di tengah-tengah ladang seluas 40 hektar miliknya.
Kiwi yang ditanam hampir semuanya dieksport ke Switzerland dan Belanda.
Kini, Bullari juga telah mula menanam pokok ara dari Afrika Utara di tanah seluas 15 hektar – pokok-pokok yang mampu tahan musim sejuk yang sederhana.
“Nasib menyebelahi yang berani, dan kita harus pantas untuk mengejarnya,” ujar Bullari. – AFP