Tuesday, December 17, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Albania utamakan penjagaan berkualiti

    TIRANA – Dahulu, Albania dikenali sebagai Korea Utara Eropah, sebuah negara diktator komunisme yang terasing.

    Namun kini, Albania menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun, dengan sebahagian besar datang untuk mendapatkan senyuman menawan, bibir mongel atau payudara yang lebih baik.

    “Saya tidak suka bercakap tentang pelancongan perubatan. Ia agak menakutkan,” kata Dritan Gremi, yang mengendalikan klinik gigi di ibu kota Tirana. “Saya lebih suka bercakap tentang pelancongan kebahagiaan, yang membuatkan orang gembira.”

    Gremi menyatakan kliniknya menawarkan rawatan berkualiti tinggi dengan peralatan yang dijamin dan disahkan mengikut standard Eropah dengan harga yang jauh lebih rendah.

    Beliau mempunyai pelanggan dari Itali, Perancis, Belgium dan Switzerland yang sering tertarik dengan tawaran pakej yang merangkumi kos perjalanan dan penginapan.

    Doktor gigi Albania (kanan) menerangkan keputusan imbasan gigi kepada Stefane Pealat di Tirana. – AFP
    Nathalie Gangloff (kanan) bercakap kepada doktor gigi di sebuah klinik di Tirana. – AFP
    Seorang lelaki melintasi sebuah klinik kecantikan Tirana. – AFP

    Dengan skandal mengenai kerja tidak berkualiti dan pelanggan cacat mengurangkan kepercayaan terhadap pelancongan perubatan di tempat lain, pihak berkuasa kesihatan Albania menegaskan mereka mengutamakan penjagaan berkualiti tinggi.

    Pendakwa raya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 30 klinik kosmetik pada Oktober untuk mencari produk terlarang dan Botox, yang diharamkan di Albania.

    Perjalanan Stephane Pealat ke Albania bermula dengan harapan untuk mendapatkan senyuman baharu yang berpatutan. Dia dan abangnya, yang berasal dari Valence di selatan Perancis, telah lama mengalami masalah gigi, termasuk kehilangan gigi yang mendorongnya untuk mendapatkan prosedur implan gigi yang kompleks.

    “Di Perancis, kami mendapat anggaran awal yang sangat mahal. Kemudian kami mula mencari di internet – Bulgaria, Turkiye, Albania, Sepanyol,” kata Pealat kepada AFP.

    Dia mengetahui tentang klinik Gremi semasa sesi konsultasi di Lyon dengan doktor gigi Albania. Selepas lawatan awal pada bulan Ogos untuk melawat kemudahan di Tirana, Pealat dan abangnya kembali pada musim luruh.

    Menurut Pealat, operasi implan gigi yang dipilihnya berharga sekitar 50,000 euro (AS$54,000) di Perancis, berbanding hanya 13,500 euro di Albania.

    “Ia adalah jumlah yang besar bagi saya. Penting untuk mempunyai senyuman yang cantik,” katanya.

    Nathalie Gangloff, yang bekerja sebagai penganjur acara di rumah penjagaan di Cognac di barat Perancis, juga memilih klinik di Albania untuk merawat masalah giginya.

    “Doktor saya di Perancis memberitahu tentang dokumentari TV” mengenai pelancongan perubatan di Albania, kata Gangloff kepada AFP.

    Dia membayar kurang dari 15,000 euro untuk mendapatkan rawatan giginya berbanding 42,000 euro yang perlu dibayar di Perancis.

    Selepas pencabutan dan implan pada bulan Februari, dia kembali ke Tirana pada pertengahan September untuk kerja terakhir, gembira kerana telah mendapatkan semula senyumannya.

    “Dalam pekerjaan saya, penting untuk mempunyai gigi yang cantik dan gaya rambut yang baik,” katanya kepada AFP, sambil menyatakan bahawa dia segera mengubah gambar profil Facebooknya untuk menunjukkan gigi barunya yang bersinar.

    Kos rendah dan pengecualian cukai telah membantu klinik-klinik Albania menarik pelanggan dengan harga yang lebih rendah.

    Sektor pelancongan perubatan negara ini dianggarkan menjana antara 200 hingga 250 juta euro setahun, dengan sekurang-kurangnya 50,000 orang Itali mengunjungi Tirana untuk rawatan setiap tahun.

    Namun, prosedur ini bukan tanpa risiko.

    Ketua persatuan doktor nasional Albania, Fatmir Ibrahimaj, berkata pesakit asing dan tempatan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada iklan dalam talian untuk prosedur kosmetik dan harus menjalankan penyelidikan sebelum menjalani rawatan.

    “Seorang doktor bukan hotel bintang lima atau tanpa bintang,” kata Ibrahimaj kepada pemberita.

    Bagi Anna Maria, seorang Itali dari Milan, ‘senyuman jiwa juga melalui bibir’.

    Pakar psikologi berusia 30an ini, yang tidak mahu memberikan nama keluarganya, melawat Albania untuk mendapatkan veneer gigi dan prosedur bibir dengan harapan dapat memperbaiki senyumannya.

    “Semakin ramai pelancong asing juga mendapatkan rawatan kosmetik untuk menyempurnakan senyuman mereka,” kata Monika Fida, seorang pakar dermatologi dan pensyarah universiti di Tirana.

    Suntikan asid hyaluronik ke dalam bibir adalah sangat popular.

    “Terutama, mereka mahu berasa baik dan memiliki bibir yang terbentuk dengan baik secara semula jadi,” tambah Fida, yang menyatakan antara 750 hingga 1,000 pesakit asing mengunjungi kliniknya setiap tahun.

    Vera Panaitov, seorang tukang masak berusia 60 tahun dari Verona, pada mulanya datang untuk mendapatkan rawatan gigi.

    Tetapi setelah berada di Tirana, dia memilih untuk menjalani prosedur payudara dan pinggangnya.

    “Awda perlu cantik pada setiap usia dan menikmati cinta serta kebahagiaan pada setiap saat,” katanya kepada AFP, sambil tersenyum dari katil hospital, mengatakan bahawa dia merasa ‘gembira dan muda kembali’.

    Christine Cincunegui, seorang ahli perniagaan Perancis, mungkin akan mengikuti jejaknya.

    Di Paris, dia kelihatan bertekad untuk meneruskan prosedur gigi di Albania selepas berunding dengan pengamal yang mengunjungi ibu kota Perancis itu.

    “Rasa lebih cantik dan berseronok? Apa lagi yang kita mahukan?” katanya kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda