Kumpulan K-pop terkenal, ATEEZ, mencatatkan kejayaan terbesar mereka di Amerika Syarikat (AS) melalui pelancaran album terbaharu mereka, kongsi portal Soompi.
Pada 24 November waktu tempatan, Billboard mengumumkan bahawa mini album baharu ATEEZ, GOLDEN HOUR : Part.2, berjaya menduduki tangga pertama carta Top 200 Albums yang terkenal, yang menyenaraikan album paling popular di AS.
Pencapaian itu menjadikan ATEEZ sebagai artis K-pop ketiga dalam sejarah yang berjaya memperoleh lebih daripada satu album No 1 di carta Billboard 200, selepas BTS dan Stray Kids. Album GOLDEN HOUR : Part 2 merupakan album kedua mereka yang menduduki tangga pertama selepas THE WORLD EP.FIN : WILL, dan merupakan kemasukan kelapan mereka ke dalam carta tersebut.
Menurut data Luminate (sebelum ini dikenali sebagai Nielsen Music), GOLDEN HOUR : Part.2 mencatatkan jualan sebanyak 184,000 unit album bersamaan sepanjang minggu yang berakhir pada 21 November—rekod baharu untuk ATEEZ di AS.
Daripada jumlah tersebut, 179,000 unit adalah jualan album tradisional, menjadikannya album paling laris minggu itu di AS, manakala 5,000 unit adalah bersamaan penstriman (SEA), yang diterjemahkan kepada 6.43 juta penstriman audio atas permintaan sepanjang minggu. – Agensi