Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Album kedua bakal dilancar

    Vokalis Kugiran Masdo, Ali Sariah, meluahkan kesyukuran apabila album kedua mereka yang dirakamkan di Abbey Road Studios, London, pada Jun lalu bakal dilancarkan tahun hadapan.

    Ali berkata, impian yang berjaya direalisasikan itu sekali gus menepis kata-kata negatif dilemparkan terhadap mereka apabila perancangan terbabit beberapa kali ditangguhkan.

    “Alhamdulillah, setelah tiga kali tertangguh, akhirnya rancangan kami untuk merakamkan album di London berjaya juga dilaksanakan. Penangguhan itu pula terpaksa dilakukan kerana kekangan wang, selain beberapa isu lain.

    “Hajat merakamkan album di sana pula sudah lama tersimpan, iaitu sejak kami menerima lagu ciptaan The Bootleg Beatles, ketika mereka bertandang ke Kuala Lumpur, tahun lalu,” kata Ali sambil memaklumkan, mereka menggunakan wang sendiri untuk menjayakan projek terbabit.

    Ali juga berkata, penangguhan projek berkenaan memberikan mereka pelbagai hikmah, terutama apabila peminat mula mendapatkan album dan barangan premium kumpulan itu. Selain Ali atau nama sebenarnya Aliff Fahmi Bahtiar, 28, kumpulan yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu itu turut dibarisi oleh Putu Ceri, Azham Ahmad dan Asmawi Ismail.

    Berkongsi mengenai perkembangan peribadi, Ali yang bertemu jodoh dengan Natasha Nurain Mohd Azman pada 9 Ogos lalu berkata, berat badannya bertambah dua kilogram sejak mendirikan rumah tangga.

    “Saya mensasarkan untuk mencapai berat sehingga 60 kilogram. Sebelum ini ramai yang berpendapat, berat saya tidak sesuai dengan ketinggian dimiliki.

    “Kini, ada juga yang menegur pipi saya semakin berisi dan sebagainya. Mungkin kerana berat badan sudah naik beberapa kilogram sejak berkahwin. Biarpun tidak banyak, ia tetap satu pencapaian untuk saya sebenarnya,” kata Ali. – Agensi

    Album yang sudah tiga kali tertangguh rakamannya di London berjaya juga dilaksanakan akhirnya dan bakal dilancarkan tahun depan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda