PARIS, 22 OKT – Koleksi album komik Tintin yang jarang ditemui akan dilelong di Paris esok, kebanyakannya ditandatangani oleh pelukis kartun Herge, yang menulis ‘Tintin hanyalah versi saya yang lain’ di salah satu halaman kosong.
Antara 75 novel grafik adalah naskhah unik Tintin in America, pertama kali diterbitkan pada tahun 1932, yang dianggarkan bernilai 200,000 euro.
Herge mendedikasikan buku itu pada tahun 1933 kepada ketua pasukan pengakap di Brussels, Charles Helsen, yang menjadi rakan dan mentor.
“Kepada Abbot Helsen, sebagai mengenang tahun-tahun hebat yang dilalui di bawah pengawasannya, menemui Adventure, Tintin hanyalah versi saya yang lain, yang akan terus mengharungi perjalanan itu sehingga ke penghujung,” tulisnya.
Salinan Tintin in America milik Helsen merupakan cetakan khas.
“Kami percaya Herge meminta salinan dicetak khas untuk rakannya,” kata Daniel Perez, pakar rumah lelong yang mengendalikan penjualan itu. – AFP