Anggota BTS, Jin, terus melakar kejayaan besar dalam kerjaya solonya apabila mencapai debut solo terbesar di Spotify menerusi lagu utamanya, Running Wild, daripada album baharunya, Happy, kongsi laman Soompi.
Pada 15 November, Running Wild mencatat 4,936,542 tontonan dalam tempoh 24 jam pertama selepas dilancarkan, sekali gus menduduki tangga ke-8 carta Global Top Songs harian Spotify.
Pencapaian itu memecahkan rekod peribadi Jin, mengatasi kedudukan tertinggi sebelumnya, iaitu lagu I’ll Be There yang berada di tangga kesembilan bulan lalu.
Kesemua lagu dalam album Happy turut berjaya memasuki carta harian Spotify. Selain lagu Running Wild dan I’ll Be There (kekal di tangga ke-20), Heart on the Window, lagu duet bersama Wendy daripada kumpulan Red Velvet, mencapai tangga ke-99, diikuti Another Level, Falling dan I will come to you.
Lagu Running Wild juga mencipta kejayaan di Jepun apabila menduduki tangga pertama carta digital harian Oricon, manakala kesemua lagu dalam album Happy berada dalam kedudukan 20 teratas. Lagu Falling menduduki tangga kesembilan, I’ll Be There di tangga ke-11, diikuti lagu Heart on the Window, I will come to you dan Another Level.
Selain itu, album Happy turut mencatat rekod jualan hari pertama tertinggi Jin sebagai artis solo, dengan jumlah jualan mencecah 852,409 salinan mengikut carta Hanteo. Ia mengatasi rekod sebelumnya yang dicatatkan oleh lagu The Astronaut pada 2022 dengan 770,126 salinan. – Agensi