PARIS, 21 MEI – Carlos Alcaraz hadir ke Roland Garros dengan penuh keyakinan selepas menewaskan pencabar utamanya, Jannik Sinner, di Rom, namun juara bertahan itu menjangkakan lawannya dari Itali itu bakal tampil lebih garang selepas kembali menemui rentak.
Alcaraz dan Sinner akan berada di bahagian yang bertentangan dalam undian apabila pemain Sepanyol itu kini kembali ke ranking kedua dunia selepas kejayaan di Terbuka Itali sekali gus membuka peluang pertembungan semula di pentas final antara dua bintang muda yang sedang meningkat naik berkenaan.
Alcaraz berusia 22 tahun telah memenangi 15 daripada 16 perlawanan di gelanggang tanah liat musim ini, termasuk menjuarai Terbuka Monte Carlo dan mara ke final di Barcelona, sebelum ke Rom biarpun baru pulih daripada kecederaan paha yang memaksanya menarik diri dari Terbuka Madrid.
Alcaraz turut memiliki kelebihan ke atas Sinner dalam rekod pertemuan dengan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka, menjadikan kedudukan semasa 7-4 memihak kepada Alcaraz.
Rekod itu termasuk kemenangan epik lima set di separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu. Kemenangannya di Rom juga menamatkan rentetan 26 kemenangan berturut-turut milik Sinner.

Juara Grand Slam empat kali, Alcaraz percaya cabaran bermain Sinner membawa yang terbaik daripadanya.
“Dia pemain terbaik dunia ketika ini. Tak kira dia berehat tiga bulan, setiap kali dia beraksi, dia tetap bermain dengan cemerlang. Statistik pun jelas, hampir semua perlawanan dia menang,” kata Alcaraz.
“Kalau saya tidak bermain pada tahap terbaik, 10 daripada 10, memang mustahil untuk kalahkan dia. Sebab itu saya lebih fokus bila bertemu dia. Perasaan itu berbeza berbanding lawan lain.
“Dia ada aura tersendiri. Bila tengok dia di seberang jaring, ia berbeza.
“Saya tidak akan mengatakan bahawa saya berasa seperti ketika Rafa (Nadal) dan Roger (Federer), tapi bila kami berdua berentap, ia bawa tenaga yang berbeza,” tambahnya.
Sinner, yang tewas straight set di Rom kekalahan pertamanya sejak 18 bulan lalu tetap menampilkan aksi menakjubkan apabila mara ke final dalam kejohanan pertamanya sejak mempertahankan gelaran Terbuka Australia pada Januari lalu. – AFP