DOHA, 18 FEB – Carlos Alcaraz berjaya menewaskan Marin Cilic pada pusingan pertama Terbuka Qatar pada Isnin.
Alcaraz memerlukan sedikit masa untuk mencari rentaknya dalam cuaca berangin, tetapi akhirnya menewaskan veteran Croatia itu 6-4, 6-4.
Cilic, 36 tahun, berhadapan dengan cabaran daripada Alcaraz pada saat-saat genting. Set pertama berubah selepas perlawanan yang berlangsung selama 18 minit pada permainan ketujuh, yang menyaksikan Alcaraz memperoleh service break yang penting.
Dalam set kedua, Alcaraz ketinggalan 0-40 ketika servis pada permainan kelapan. Namun, dia bangkit dengan cemerlang, memenangi 15 daripada 19 mata berikutnya untuk menamatkan perlawanan dalam satu jam 38 minit.
“Saya sangat gembira kerana dapat menyelamatkan perlawanan itu,” kata Alcaraz di padang.
“Marin memberi tekanan yang besar ketika awda melakukan servis, dia seorang penerima servis yang hebat. Saya sangat gembira kerana dapat kekal tenang pada saat itu, ikut rutin saya dan melakukan pukulan yang baik. Saya sangat gembira menang dalam dua set.”
Alcaraz akan berhadapan dengan Zhang Zhizhen atau Luca Nardi pada pusingan kedua.
Cilic bertanding dalam kejohanan pertamanya selepas pembedahan lutut pada November lalu.
Jiri Lehecka menewaskan pilihan ketujuh, Grigor Dimitrov dari Bulgaria, 6-4, 6-4.
Ia adalah kemenangan ke-11 pemain Czech itu pada 2025, yang setaraf dengan Alex de Minaur dan Miomir Kecmanovic untuk rekod kemenangan terbanyak dalam Jelajah ATP. – AFP
