Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz bergelut tewaskan Van de Zandschulp

    THE HAGUE, 5 FEB – Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, terpaksa berjuang habis-habisan untuk menewaskan pemain tuan rumah, Botic van de Zandschulp, dalam perlawanan pertamanya sejak kekecewaan di suku akhir Terbuka Australia.

    Pilihan utama kejohanan itu berdepan cabaran sengit sebelum akhirnya menewaskan lawannya yang berada 81 tangga di bawahnya menerusi kemenangan 7-6 (7-3), 3-6, 6-1 dalam hampir tiga jam perlawanan.

    “Ia perlawanan yang sangat sukar. Saya terpaksa melalui detik-detik mencabar,” kata Alcaraz.

    “Saya memulakan perlawanan dengan agak gementar dan melakukan beberapa kesilapan. Saya membiarkannya menguasai perlawanan dan bermain dengan rentaknya sendiri,” tambah pemain Sepanyol itu.

    Van de Zandschulp sebelum ini mengejutkan Alcaraz dengan kemenangan straight set di Terbuka AS tahun lalu, dan pemain pilihan pertama itu sekali lagi kelihatan bergelut menyesuaikan diri dengan permukaan gelanggang tertutup Rotterdam yang perlahan.

    Carlos Alcaraz memberikan reaksi ketika bersaing menentang Botic van de Zandschulp dalam perlawanan pusingan 32 acara perseorangan lelaki di kejohanan tenis Jelajah ATP Terbuka Rotterdam di Rotterdam Ahoy, Rotterdam, pada 4 Februari. – AFP

    Beberapa kesilapan luar biasa daripada Alcaraz membolehkan pemain Belanda itu meraih beberapa break servis, menyebabkan juara Sepanyol itu semakin kecewa, sering berbicara di kotaknya dengan pengadil kerusi.

    Van de Zandschulp memiliki mata set pada kedudukan 5-4 tetapi melakukan double fault yang memberi ruang kepada Alcaraz untuk bangkit. Alcaraz menggunakan peluang itu untuk menyamakan kedudukan 5-5 dengan pukulan forehand bertenaga.

    Set pertama akhirnya ditentukan menerusi tie-break, di mana Alcaraz mempamerkan aksi terbaiknya dengan beberapa pukulan kemenangan untuk memenangi tie-break 7-3.

    Set kedua juga berlangsung sengit, dengan kedua-dua pemain mengekalkan servis masing-masing sehingga permainan keenam, sebelum kesilapan backhand Alcaraz menghadiahkan Van de Zandschulp break servis dan kedudukan 4-2.

    Pemain pilihan tuan rumah itu kemudian memastikan kemenangan set kedua pada kedudukan 5-3 selepas Alcaraz sekali lagi tersasar dengan pukulan forehand, disambut sorakan gemuruh penyokong di gelanggang.

    Dua double fault dan pukulan forehand liar mengubah momentum perlawanan memihak kepada pemain Sepanyol itu dalam set penentuan, apabila dia meraih break awal untuk mendahului 3-0.

    Break tersebut seakan-akan melemahkan semangat Van de Zandschulp, yang sekali lagi kehilangan servisnya, memberikan peluang kepada pilihan utama untuk menamatkan perlawanan pada kedudukan 5-1.

    Alcaraz mengesahkan kemenangan dengan pukulan drop shot forehand yang lembut, jelas menunjukkan kelegaan di wajahnya ketika bersalaman di jaring. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda