CINCINNATI, 13 OGOS – Carlos Alcaraz menewaskan cuaca panas dan kelembapan musim panas Midwest apabila pemain nombor dua dunia itu mara ke pusingan
keempat Terbuka Cincinnati ATP dan WTA, kelmarin.
Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu meminimumkan masa di gelanggang dalam keadaan suhu 32 darjah Celsius, hanya memerlukan 95 minit untuk menewaskan pemain Serbia, Hamad Medjedovic 6-4, 6-4, sekali gus mencatat kemenangan ke-50 musim ini.
“Medjedovic tidak begitu gemar berlari, jadi saya cuba menggerakkannya sejauh mungkin,” kata Alcaraz. “Namun ia agak sukar kerana bola melayang terlalu jauh dan pukulannya begitu laju. Saya cuba bertahan dengan baik.”
Alcaraz berada dalam prestasi cemerlang sepanjang 2025 ketika memburu Jannik Sinner di kedudukan ATP dan kini memiliki 13 kemenangan berturut-turut di peringkat Masters 1000.
Dia akan merebut tiket suku akhir menentang Luca Nardi selepas pemain Itali itu menewaskan Jakob Mensik 6-2, 2-1, apabila pemain Republik Czech itu menarik diri selepas 42 minit permainan.
Juara lima kali Grand Slam yang sedang membuat persiapan untuk Terbuka AS itu menambah, “Saya sangat gembira meraih kemenangan dalam perlawanan yang sangat sukar.
“Musim ini sangat panjang dan sekurang-kurangnya separuh daripada perlawanan anda, anda tidak berasa berada pada tahap fizikal yang baik.
“Tetapi anda perlu kekal positif dan bermain tenis terbaik pada hari tersebut. Saya berbangga dengan itu. Ia adalah salah satu matlamat musim ini.” – AFP










