Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz enggan dibanding dengan Federer

    BERLIN, 23 SEPT – Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz menolak perbandingan dengan juara 20 kali Grand Slam, Roger Federer, sejurus selepas kemenangannya ke atas Taylor Fritz membantu Pasukan Eropah merangkul gelaran Piala Laver kelmarin.

    Pemain berusia 21 tahun itu menewaskan Taylor Fritz dari Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan 6-2, 7-5 dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut yang berlangsung di Berlin.

    Pasukan Eropah, yang sebelum ini tewas dalam dua edisi lalu, memerlukan kemenangan daripada Alexander Zverev, pemain tempatan, yang berjaya mengatasi Frances Tiafoe 6-7(5/7), 7-5, 10-5. Kejayaan Zverev membuka peluang kepada Alcaraz untuk menamatkan saingan dengan kemenangan.

    Namun, selepas kejayaan itu, Alcaraz menolak sebarang perbandingan dengan Federer pada puncak kariernya, menyifatkannya sebagai sesuatu yang ‘mustahil’.

    “Saya masih jauh dari tahap itu,” katanya. “Saya harap suatu hari nanti dapat mencapainya, tetapi buat masa ini, ia benar-benar mustahil.”

    Pasukan Eropah meraikan kemenangan mereka bersama trofi semasa majlis pada akhir kejohanan tenis Piala Laver 2024 di Berlin, Jerman pada 22 September. – AFP

    Alcaraz, yang berjaya memenangi Terbuka Perancis dan Wimbledon musim ini, mengakui ini kali pertama dia menyertai kejohanan Piala Laver.

    “Ia sangat hebat. Kami semua boleh berasa bangga. Saya amat gembira. Setiap daripada kami telah melakukan tugas dengan cemerlang sepanjang kejohanan ini,” tambahnya.

    “Kami hampir kalah, tetapi Sasha (Zverev) tampil dengan permainan sangat baik dan memberi saya peluang untuk menang dalam Piala Laver.”

    Pemain nombor tiga dunia itu turut menyumbang kepada kejayaan Pasukan Eropah dalam perlawanan pembukaan kelmarin, apabila bergandingan dengan Casper Ruud untuk memenangi perlawanan beregu dengan keputusan 6-2, 7-6(8/6).

    Alcaraz juga mengakui dia lebih gementar ketika menyaksi rakan sepasukannya bermain daripada berada di gelanggang sendiri.

    “Memang sukar untuk menonton dari luar. Saya cuba menenangkan diri dengan menonton di bilik persalinan dan menyokong dari situ. Namun debaran tetap terasa,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda