LONDON, 23 JUN – Carlos Alcaraz memberitahu pesaingnya di Wimbledon dia ‘berasa hebat’ di atas gelanggang rumput selepas pemain nombor dua dunia itu memenangi gelaran Queen’s Club buat kali kedua.
Alcaraz bergelut dengan kemenangan 7-5, 6-7 (5/7), 6-2 ke atas pemain nombor 30 dunia Czech, Jiri Lehecka dalam perlawanan akhir acara pemanas badan Wimbledon, kelmarin.
Pemain berusia 22 tahun itu telah melanjutkan rekod kemenangan terbaik dalam kariernya kepada 18 perlawanan, meletakkannya dalam kedudukan yang sempurna untuk mempertahankan kejuaraan Wimbledonnya.
Alcaraz telah memenangi Terbuka Perancis, Rome Masters dan Queen’s sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut.
Bagaimanapun, juara Grand Slam lima kali itu telah tiba di London barat dengan perasaan bimbang tentang keupayaannya untuk membuat peralihan yang sukar daripada musim gelanggang tanah liat kepada gelanggang rumput.
Dengan tugas mencabar itu, Alcaraz adalah pemain pertama yang memenangi Roland Garros dan Queen sejak Rafael Nadal pada 2008.
“Saya akan katakan ia sangat sukar, beralih daripada gelanggang tanah liat kepada rumput dalam beberapa hari sahaja, kerana itulah masa yang saya ada sebelum kejohanan bermula, hanya dua hari berlatih,” kata Alcaraz.
“Jadi saya datang ke sini tanpa sebarang jangkaan. Saya datang ke sini dengan matlamat untuk bermain dua atau tiga perlawanan, cuba berasa hebat di atas rumput, dan berikan diri saya maklum balas tentang apa yang perlu saya perbaiki.
“Tetapi saya terbiasa dengan rumput dengan cepat dan saya sangat berbangga. Matlamat saya telah dicapai dan saya tidak bercakap tentang menjulang trofi atau mara ke final,” tambahnya. – AFP