LONDON, 9 JULAI – Carlos Alcaraz melangkah ke separuh akhir Wimbledon buat kali ketiga berturut-turut selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Cameron Norrie, dalam persembahan penuh bergaya di Centre Court, kelmarin.
Juara bertahan itu hanya mengambil masa 99 minit untuk menewaskan Norrie 6-2, 6-3, 6-3 – persembahan paling meyakinkan Alcaraz dalam kejohanan tahun ini.
Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu sebelum ini bergelut dalam beberapa perlawanan awal dengan kehilangan empat set dalam usahanya mara ke suku akhir. Namun, Alcaraz kembali ke prestasi terbaiknya dengan mempamerkan 39 pukulan kemenangan bagi menempah pertemuan separuh akhir menentang pilihan kelima dari Amerika Syarikat,
Taylor Fritz.
“Berpeluang bermain satu lagi separuh akhir di Wimbledon adalah sesuatu yang sangat istimewa,” kata Alcaraz. “Saya amat gembira dengan cara saya bermain menentang lawan yang sangat sukar.”
Dengan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, bergelut dengan kecederaan siku dan hanya mara selepas lawannya, Grigor Dimitrov, menarik diri, Alcaraz kini dilihat sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan ketika kejohanan memasuki fasa penentu.
Alcaraz kini mencatatkan 23 kemenangan berturut-turut sejak tewas kepada Holger Rune di final Barcelona pada April – satu rekod peribadi terbaik yang turut merangkumi kejuaraan Terbuka Perancis, Terbuka Rom dan Monte Carlo. – AFP
