RIO DE JANEIRO, 24 FEB – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz menewaskan pemain ranking ke-86, Fabio Fognini dari Itali untuk mara ke suku akhir Terbuka Rio ATP, kelmarin.
Pemain Sepanyol berusia 19 tahun itu bangkit selepas tewas set pertama, menang 6-7 (5-7), 6-2, 6-4.
Fognini, pemain veteran berusia 35 tahun dengan sembilan gelaran perseorangan, tewas 3-0 kepada juara bertahan itu pada set pembukaan, sebelum bangkit dengan rentetan rali yang hebat.
Dia mematahkan servis Alcaraz untuk menyamakan kedudukan 5-5, kemudian memenangi set menerusi penentuan.
Tetapi Alcaraz bangkit kembali pada set kedua, menang 4-0, dan membawa momentumnya melalui set terakhir untuk memenangi perlawanan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P23-1A-web_25022023.jpg)
Persembahan dramatik itu membuatkan ramai penonton di stadium tersebut sangat merasa teruja.
Alcaraz akan menentang Dusan Lajovic di suku akhir hari ini. Lajovic di ranking ke-80 menewaskan Laslo Djere di ranking ke-57 dengan 6-2, 6-4.
Alcaraz, yang kembali minggu lalu daripada rehat empat bulan akibat kecederaan, berusaha untuk mengembalikan prestasi cemerlangnya seperti tahun lalu di Brazil.
Kemudian, dia memenangi Terbuka Rio dalam perjalanannya merangkul lima kejuaraan, termasuk Terbuka AS, dan menjadi pemain nombor satu dunia termuda dalam ranking ATP, di mana dia kini tewas kepada Novak Djokovic selepas bergelut dengan kecederaan.
Alcaraz mempertahankan kejuaraannya di Rio dengan memenangi perlawanan yang lebih sukar daripada jangkaan, ditangguhkan akibat hujan ketika menentang pemain ranking ke-556, Mateus Alves dari Brazil pada Rabu.
Dia membuat penampilan sulung pada 2023 minggu lalu dengan memenangi gelaran ATP ketujuh di Terbuka Argentina. – AFP