Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz, Medvedev ke pusingan kedua

    NEW YORK, 30 OGOS – Carlos Alcaraz memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan pantas selepas lawannya mengalami kecederaan hari ini, begitu juga pilihan ketiga Daniil Medvedev berjaya mara ke pusingan kedua.

    Alcaraz, yang kembali ke gelanggang Stadium Arthur Ashe yang mana dia menjulang trofi Grand Slam pertamanya sebagai pemain remaja setahun lalu, menguasai permainan selepas pemain Jerman, Dominik Koepfer terseliuh pergelangan kakinya pada set pertama.

    Koepfer cuba meneruskan permainan walaupun kelihatan tidak selesa, namun akhirnya bersara ketika ketinggalan 3-2 pada set kedua setelah tewas set pertama 6-2.

    “Ia bukannya cara terbaik untuk melangkah ke pusingan berikutnya,” kata pemain nombor satu dunia dari Sepanyol, Alcaraz. “Tetapi saya perlu katakan saya bermain dengan hebat.”

    Alcaraz, yang berdepan Lloyd Harris dari Afrika Selatan pada pusingan kedua, dijangka bertembung dengan juara Terbuka AS 2021, Medvedev pada separuh akhir.

    Aksi Carlos Alcaraz menentang Dominik Koepfer semasa kejohanan tenis Terbuka AS di PusatTenis USTA Billie Jean King di New York pada 29 Ogos. – AFP

    Medvedev bermula langkah kanan selepas menang 6-1, 6-1, 6-0 ke atas pemain Hungary, Attila Balazs dalam masa 74 minit.

    Bintang Rusia itu akan menentang pemain Australia, Christopher O’Connell pada pusingan kedua esok bagi memburu tempat ke pusingan 32 terakhir.

    “Ia mungkin perlawanan tiga set terpantas pernah saya harungi,” kata Medvedev selepas mendominasi aksi menentang Balazs.

    Sementara itu, China melakar sejarah apabila Wu Yibing menundukkan pemain Serbia, Dusan Lajovic 3-6, 6-4, 2-6, 6-4, 6-2 untuk menyertai rakan senegara Zhang Zhizhen pada pusingan kedua.

    Ia kali pertama dalam era terbuka tenis dua pemain China layak ke pusingan kedua kejohanan Grand Slam yang sama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda