TURIN, 10 NOV – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz memulakan perlawanan ATP Finals di Turin dengan langkah kanan kelmarin selepas menewaskan Alex de Minaur 7-6 (7/5), 6-2.
Ia merupakan kali pertama pemain Sepanyol itu memenangi perlawanan pembukaan di kejohanan akhir musim. Dia tewas kepada Alexander Zverev dan Casper Ruud dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ketika mendahului 4-1 dan hampir memimpin 5-1 dalam set pertama, Alcaraz tiba-tiba kehilangan rentak servis pertamanya dan membenarkan De Minaur kembali untuk menyamakan kedudukan.
Ketinggalan 3-1 dan kemudian 5-3 dalam pematah seri, Alcaraz menemui semula sentuhannya untuk menyamakan mata dan seterusnya mematahkan servis De Minaur untuk memenangi set pertama.
Walaupun kehilangan servis pada awal set kedua, Alcaraz bertindak pantas mendominasi permainan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan kelimanya dalam pertemuan dengan De Minaur.
“Ia perlawanan yang sangat sukar,” kata Alcaraz.
“Di gelanggang ini, Alex memanfaatkan sepenuhnya kelajuan bola, dia sangat pantas dan sangat sukar ketika mengembalikan bola.
“Saya sangat gembira dapat melepasi cabaran yang sangat sukar ini dan berpuas hati dengan prestasi saya,” tambahnya.
Alcaraz dan De Minaur berada dalam kumpulan Jimmy Connors, yang turut menampilkan Taylor Fritz dan Lorenzo Musetti, pemain gantian lewat untuk Novak Djokovic yang cedera.
Sementara itu, Alexander Zverev menewaskan Ben Shelton dalam perlawanan pertama kumpulan Bjorn Bjorg kelmarin, yang turut menampilkan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dan Felix Auger-Aliassime. – AFP


