Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz pemain pilihan utama Wimbledon

    WIMBLEDON, ENGLAND, 28 JUN – Carlos Alcaraz dan Iga Swiatek masing-masing menjadi pemain pilihan nombor satu yang terpilih untuk Kejohanan Wimbledon semalam, seperti yang dijangkakan, kerana Kelab All England mematuhi ranking ATP dan WTA.

    Alcaraz memintas Djokovic di kedudukan teratas lelaki pada Isnin. Djokovic tidak bermain sejak meraih gelaran kejuaraan Grand Slam ke-23 di Terbuka Perancis pada 11 Jun dan merosot ke tangga kedua, manakala Alcaraz naik satu tempat selepas memenangi kejohanan pemanas badan gelanggang rumput di Queen’s Club pada Ahad.

    Djokovic telah memenangi kejuaraan Wimbledon empat kali berturut-turut dan tujuh kali secara keseluruhan, tetapi dia tidak mendapat kelebihan ranking pada tahun 2022 kerana ATP dan WTA mengekalkan semua mata untuk membantah keputusan Kelab All England untuk mengharamkan pemain dari Rusia dan Belarus kerana pencerobohan di Ukraine.

    Atlet-atlet tersebut dibenarkan bertanding tahun ini, dan pemain Rusia, Daniil Medvedev menjadi pemain pilihan nombor tiga dalam kategori lelaki, manakala pemain Belarus, Aryna Sabalenka ditempatkan pada tangga kedua dalam kategori wanita.

    Undian untuk menentukan susunan papan jadual perseorangan akan diadakan pada Jumaat. Kejohanan itu akan bermula pada Isnin.

    Reaksi Carlos Alcaraz mengulang trofi selepas menewaskan Alex de Minaur dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di kejohanan tenis Queen’s Club di London, pada 25 Jun. – AP

    Casper Ruud berada pada tangga keempat dalam senarai 32 pilihan lelaki, diikuti oleh Stefanos Tsitsipas, Holger Rune, Jannik Sinner, Taylor Fritz, dan Frances Tiafoe.

    Nick Kyrgios, naib juara Wimbledon pada tahun lalu setelah kalah kepada Djokovic, ditempatkan pada pilihan nombor 31.

    Juara Wimbledon dua kali Andy Murray berada di kedudukan ke-39 dan bukan pilihan.

    Swiatek telah menduduki ranking teratas sejak April 2022 dan memiliki empat gelaran Grand Slam, yang terbaharu di Terbuka Perancis. Dia belum pernah melepasi pusingan keempat di Wimbledon.

    Elena Rybakina, juara wanita 2022 di Kelab All England, berada di tangga ketiga dalam kalangan 32 pilihan wanita, diikuti Jessica Pegula, Caroline Garcia, Ons Jabeur, Coco Gauff, Maria Sakkari, juara dua kali Petra Kvitova dan Barbora Krejcikova. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda