BARCELONA, 15 DIS – Juara Dunia, Carlos Alcaraz akan mempertahankan gelarannya di kejohanan ATP Barcelona pada bulan April, umum pihak penganjur kelmarin.
Pemain berusia 19 tahun dari Sepanyol itu menang acara di gelanggang tanah liat buat kali pertama pada tahun ini selepas menewaskan rakan senegara, Pablo Carreno dalam aksi final.
“Alcaraz merupakan pemain pertama yang mengesahkan penyertaannya untuk edisi kejohanan tahun hadapan,” kata pihak penganjur kejohanan dalam satu kenyataan akhbar.
Ia merupakan gelaran juara ketiga daripada lima kejuaraan pada tahun 2022, dengan kemuncaknya ialah Terbuka Amerika Syarikat (AS). Dia menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia, pemain paling muda yang menduduki tempat teratas sejak ia bermula pada tahun 1973.
“Carlos Alcaraz adalah seorang pemain yang unik, yang mempunyai karisma tinggi dan juga seorang yang kelakar di gelanggang,” kata pengarah kejohanan, David Ferrer dalam satu kenyataan.
“Kami sedang bercakap mengenai pemain nombor satu dunia yang merupakan pemain paling muda dalam sejarah yang pernah mencapai gelaran itu.
“Dia masih mempunyai seluruh kerjaya di hadapannya untuk terus meningkat dan berkembang sebagai seorang pemain. Dia akan menjadi pemain hebat yang mendominasi permainan untuk 10 tahun akan datang, tanpa sebarang keraguan.” – AFP









