TURIN, 14 NOV – Carlos Alcaraz menyingkirkan pesaingnya, Jannik Sinner dari kedudukan teratas kelmarin, selepas merangkul kembali gelaran nombor satu dunia akhir tahun ini dengan menewaskan Lorenzo Musetti di ATP Finals 6-4, 6-1 di Turin.
Pemenang Grand Slam dua kali musim ini, Alcaraz akan mendahului Sinner dalam ranking lelaki yang dikemas kini pada Isnin hasil kejayaannya ke atas Musetti yang turut memastikan tempat pertama untuk pemain Sepanyol itu dalam Kumpulan Jimmy Connors pada kejohanan penutup musim.
Alcaraz, yang telah memenangi 70 perlawanan setakat musim ini, boleh sahaja tewas pada separuh akhir esok tetapi kini masih akan menamatkan musim 2025 di kedudukan teratas, walaupun Sinner mengekalkan gelaran Finalnya di tempat sendiri.
Tetapi Alcaraz kelihatan tidak berminat untuk berbuat demikian ketika dia memburu kemenangan final pertamanya dan dia nampaknya berada di landasan untuk satu lagi perlawanan akhir menentang Sinner dari Itali, yang layak di tempat pertama dari Kumpulan Bjorn Borg pada Rabu nanti.
“Sejujurnya, ia sangat bermakna bagi saya, pemain nombor satu tahun ini sentiasa menjadi matlamat,” kata Alcaraz.
“Sejujurnya pada awal tahun ini saya melihat pemain nombor satu itu berada pada jurang kedudukan yang jauh di hadapan, Jannik berada pada kedudukan itu dengan memenangi hampir setiap kejohanan yang disertainya.
“Bagi saya, ia sangat bermakna. Usaha yang kami lakukan setiap hari sepanjang musim, turun naik dan bangkit kembali. Jadi saya sangat berbangga dengan pasukan dan diri saya sendiri,” tambahnya.
Alcaraz telah memenangi empat daripada lima pertemuannya dengan Sinner musim ini, yang semuanya adalah di peringkat akhir kejohanan peringkat tertinggi dengan dua gelaran Grand Slam.
Pemain berusia 22 tahun itu memenangi salah satu perlawanan terbaik dalam sejarah tenis menentang Sinner untuk mengekalkan gelaran Terbuka Perancisnya pada Jun lalu sebelum tewas di perlawanan akhir Wimbledon kepada pemain Itali itu. – AFP

