Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz sedia berentap dengan Sinner

    ROM, 9 MEI – Pemain ranking ketiga dunia, Carlos Alcaraz, mengesahkan dia kini sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk memulakan perlawanan di Terbuka Itali selepas pulih daripada kecederaan otot yang dialaminya sebelum ini.

    Bintang muda Sepanyol itu menarik diri daripada Terbuka Madrid disebabkan kecederaan paha atas dan pada kaki kiri yang ketika aksi final Terbuka Barcelona.

    “Saya berada dalam keadaan baik sekarang. Saya 100 peratus bersedia untuk memulakan kejohanan,” kata Alcaraz dalam sidang media di Rom kelmarin.

    Alcaraz dijadualkan bertemu pemain kelayakan dari Serbia, Dusan Lajovic, pada pusingan pertama hari ini.

    Dalam penampilan sulungnya di Rom tahun lalu, Alcaraz disingkirkan pada pusingan ketiga oleh pemain kelayakan dari Hungary, Fabian Marozsan, ketika itu di ranking ke-135 dunia. Ketika itu, dia sedang bergelut dengan kecederaan lengan kanan.

    Carlos Alcaraz semasa sesi latihan menjelang kejohanan tenis Terbuka ATP Rome di Foro Italico di Rom pada 7 Mei. – AFP

    Namun begitu, Alcaraz bangkit mencipta kejayaan selepas itu apabila memenangi gelaran Grand Slam di Terbuka Perancis dan Wimbledon secara berturut-turut.

    “Musim kali ini jauh lebih baik. Saya sudah menang di Monte Carlo dan mara ke final di Barcelona. Saya tidak bimbang langsung. Latihan berjalan lancar dan saya tidak sabar untuk turun beraksi,” katanya lagi.

    Kejuaraan di Rom juga bakal menyaksikan kemunculan semula pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, selepas menjalani penggantungan selama tiga bulan berikutan kes doping.

    Kedua-dua pemain itu berada di bahagian bertentangan dalam undian dan Alcaraz berharap dapat bertemu semula dengan pencabarnya itu di peringkat akhir.

    “Saya gembira dia kembali. Saya pasti tempoh itu sangat sukar untuknya. Tapi ini sesuatu yang baik untuk saya, untuk tenis dan untuk para peminat,” katanya.

    “Harapnya kami akan bertemu di final,” ujar Alcaraz. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda